Geng Curi Motosikal Dianggotai Remaja 15 Tahun Tumpas

41
George Abdul Rakman dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Dua daripada mereka baru berusia 15 tahun, seorang 16 tahun manakala seorang lagi yang merupakan ketua kumpulan tersebut baru sahaja berumur 17 tahun.

Bagaimanapun, ketika remaja sebaya mereka masih berada di bangku sekolah, empat sahabat ini pula yang merupakan ahli Geng Afiq terjebak dengan aktiviti mencuri motosikal di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar.

Aktiviti keempat-empat remaja itu bersama empat lagi ahli kumpulan mereka yang merupakan warga asing terbongkar selepas kesemua suspek ditahan dalam beberapa operasi baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden George Abd. Rakman berkata, sebelum ini, polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras gejala mencuri motosikal di daerah ini susulan laporan yang diterima daripada seorang individu yang kehilangan motosikal.

George menunjukkan sebahagian motosikal curi yang berjaya ditemukan dengan tertumpasnya Geng Afiq.

“Maka pada 5 September kita telah buat tangkapan pertama di Kota Kinabalu iaitu dua orang suspek utama kemudian selepas pendedahan suspek, pada 6 September kita buat tangkapan lagi di sekitar Penampang iaitu empat orang suspek dan pada 7 September dua lagi tangkapan di Kota Kinabalu.

“Hasilnya lapan orang ditangkap yang mengaku sebahagian daripada kumpulan ini cuma suspek utama kita ialah dua orang itu yang selebihnya cuma rakan jenayah, dua suspek utama itu merancang selebihnya menjual dan melupuskan serta mengambil beberapa bahagian motosikal untuk dijual,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, berikutan penangkapan kesemua suspek, polis berjaya menemukan 13 buah motosikal terdiri daripada 10 buah Honda EX5 manakala selebih jenama Yamaha.

Katanya, polis turut menemukan pelbagai bahagian motosikal lain turut ditemukan yang sedia untuk dijual sebagai alat ganti.

Sebahagian alat ganti motosikal yang telah sedia untuk dijual oleh suspek.

Menurut beliau, ujian urin ke atas semua suspek negatif dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun jika bersalah.

“Ekoran tangkapan ini kita percaya 13 kes berjaya diselesaikan iaitu 10 di Kota Kinabalu dan tiga di Tuaran, suspek-supek yang kita tangkap ini aktif di Kota Kinabalu sahaja, sedikit di luar iaitu Tuaran, Penampang dan Papar.

“Penjenayah Geng Afiq ini, empat adalah rakyat tempatan manakala empat lagi warga asing yang semuanya berumur antara 15 hingga 22 tahun, mereka baru sahaja memulakan kegiatan awal tahun sebab semua laporan pada 2019,” katanya.