Gempar Politik Sabah Akibat Langkah Bersatu Membuka Cawangan

2245
Ketua Menteri Sabah dengan president Amanah Mohd Sabu di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Oleh PENULIS KHAS
KOTA KINABALU: Grup-grup media sosial yang berasaskan politik di Sabah tiba-tiba sahaja gempar dengan berita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuka cawangan di Sabah.

Satu perasaan geram yang tidak dapat diungkapkan nampaknya dapat dirasai dalam kalangan penyokong atau pembangkang menyebabkan beberapa formula politik timbul termasuklah pembubaran kerajaan negeri bagi membentuk mandat baharu.

Kaki sembang politik pula mempertikaikannya dengan penuh emosi, mendakwa Warisan telah dipermainkan oleh sekutunya kerana melihat langkah berkenaan bakal membawa landskap politik baharu kepada Sabah hanya selepas sembulan bulan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal bersama DAP serta PKR berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) pimpinan Tan Sri Musa Aman yang sudah berakar umbi di Sabah.

Pemimpin-pemimpin dalam kalangan parti gabungan kerajaan membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan, manakala pemimpin senior menunggu Mohd. Shafie menyatakan pendiriannya tentang perkembangan terbaharu politik itu.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt; Ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau juga masih belum bercakap.

MAHATHIR MOHAMAD

Media sosial pula menganggap langkah Bersatu itu sebagai perbuatan tikam belakang seperti yang pernah berlaku dengan kerajaan Sabah pada tahun 1990 apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) diketuai Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meninggalkan BN pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika pilihan raya umum sedang berlangsung.

Sebelum PRU14, Warisan telah mencapai persefahaman dengan Dr. Mahathir untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP di negeri ini bagi berdepan UMNO yang menguasai BN tanpa perlu menyertai pakatan di peringkat kebangsaan.

Shafie sebelum ini kekal dengan pendirian bahawa Warisan tidak mampu menghalang Bersatu masuk Sabah, tetapi tetap berharap bahawa Dr. Mahathir akan memegang kata-katanya untuk tidak melakukannya.

Warisan dan parti pakatannya menguasai 45 daripada 65 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang memiliki lapan kerusi termasuk Bebas (bekas UMNO), enam daripada PBS, tiga Star dan masing-masing satu kerusi UMNO serta Bebas.

Antara bekas pemimpin Umno Sabah yang akan berserta parti Bersatu tidak lama lagi.

Shafie dengan penguasaan 33 kerusi milik Warisan memegang majoriti mudah di DUN tetapi kemasukkan Bersatu dijangka bakal mengganggu penyokong Islam dan bumiputera Warisan di peringkat akar umbi dalam jangka panjang.

“Walaupun Warisan menganggap parti itu pelbagai kaum, peranannya sama dengan Bersatu,” kata pemerhati politik yang turut menjangka UMNO Sabah akan terus ketinggalan selepas ini.

Walau bagaimanapun, situasi politik negara nampaknya akan berubah lagi dalam tempoh beberapa minggu atau beberapa bulan akan datang.

Penganalisis politik, Rahezzal Shah beranggapan langkah Bersatu masuk ke Sabah sebagai parti nasional adalah munasabah dan bagi mengisi kelompongan yang ditinggalkan UMNO.

“Memang akan ada rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli Warisan dengan perkembangan ini. Kebimbangan mereka berasaskan kepada dua perkara iaitu yang pertama kebanyakan bekas pemimpin UMNO menyatakan mereka akan menyertai Bersatu berbanding Warisan.

“Kedua, kebimbangan terbesar adalah strategi untuk mengecilkan kuasa Warisan atau mengambil alih kuasa yang ada,” katanya.

Menurutnya, pemimpin Bersatu di Sabah dijangka memainkan peranan sebagai pembangkang tetapi di peringkat Persekutuan mereka bersama-sama menyokong kerajaan.