Gelombang Putih Kini Berada Dalam Komuniti Cina

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kehadiran pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) pusat dalam Ceramah Umum bersama calon Warisan Plus Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah cukup untuk membuktikan kerjasama padu dalam gabungan tersebut.

Kesangggupan DAP mengorbankan lambang roket demi memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) cukup jelas menunjukkan kesepakatan yang utuh dalam rakan kerjasama ini.

“Mereka sanggup berkompromi untuk menolong kita menang di Sabah. Inilah baru pemimpin yang mementingkan suara rakyat,” kata Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Kehadiran Mohd Shafie bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan  Timbalan Pengerusi DAP Govind Singh Deo dalam ceramah berkenaan disambut baik oleh komuniti Cina di kawasan Luyang dan sekitarnya.

Mohd Shafie berkata, sokongan yang ditunjukkan masyarakat Cina itu membawa gambaran cukup jelas bahawa gelombang angin putih sudah mula berada dalam masyarakat.

“Inilah mesej yang kita mahu bawa. Angin perubahan sudah ada di Sabah, angin gelombang putih,” ujarnya.