Gelombang Putih Akan Tawan DUN Sulaman – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Gelombang Putih sudah datang. Ini masanya untuk tumbangkan penyandang ADUN BERSATU di sini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sudah tiba masanya untuk rakyat Sulaman melihat perubahan berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Beliau berkata, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sudah berkhidmat di kawasan itu cukup lama tapi keadaan di situ masih jauh ketinggalan. Beliau (Hajiji) juga dijadikan alat oleh Kuala Lumpur untuk menjadi penghubung bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Jadi kali ini kita tunjukkan bahawa gelombang putih sudah datang, Kita tahu gelombang ini akan memastikan mereka (rakyat) mempunyai wakil yang jauh berpengalaman dan mampu memberi perkhidmatan kepada rakyat Sulaman,” katanya ketika mengulas kenapa rakyat Sulaman harus mengundi Warisan dan bukan penyandang ADUN Sulaman, Hajiji.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Bersama Rakyat Sulaman dan Pantai Dalit, di sini semalam.

Mengulas mengenai tuduhan bantuan Covid-19 RM300 yang dikatakan Hajiji tidak sampai kepada rakyat, Mohd Shafie sekali lagi menjelaskan, bantuan itu adalah untuk rakyat yang tersenarai dalam e-Kasih bagi golongan B40.

Katanya, berkemungkinan yang tidak dapat itu adalah mereka yang tidak berada dalam senarai e-Kasih. Namun, untuk bantuan bekalan makanan, kerajaan Warisan telah memberikan bekalan makanan kepada semua rakyat semasa di awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurutnya, selain bantuan B40, kerajaan turut menyediakan bantuan kepada pemandu teksi, nelayan dan petani mengikut kumpulan penerima.

Mohd Shafie mengingatkan pembangkang agar jangan hanya tahu memetik kenyataan sebaliknya berdepan dengan hakikat sebenar bahawa mereka gagal membangunkan Sabah.

“Kegagalan bangunkan Sabah itu jauh lebih besar impaknya. Sekolah di Sabah masih papan, hospital kita masih tidak cukup tenaga pakar. Ini jauh lebih penting,” jelasnya.