Gangguan Bekalan Elektrik, Pesakit Hospital Queen Elizabeth Terpaksa Dipindahkan

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang bermula tengah hari semalam dan berlarutan sehingga malam tadi memaksa sebahagian pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, dipindahkan ke hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Menerusi satu kenyataan malam tadi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata pemindahan pesakit ke HQE II itu terpaksa dibuat khususnya yang membabitkan pembedahan sebagai pelan kontingensi.

“Bagi memastikan perkhidmatan rawatan di HQE tidak terjejas, pelan kontingensi dilaksanakan dengan menghantar sebahagian pesakit ke HQE II.

“Kes-kes pembedahan juga dipindahkan ke HOE II. Pada jam 8 malam tadi selepas dua set janakuasa mudah alih berfungsi, semua wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah mendapat bekalan elektrik, kecuali dewan bedah,” katanya.

Beliau berkata, gangguan bekalan elektrik di HQE bermula jam 11.54 pagi semalam.

Ia membabitkan semua fasiliti di menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital itu.

Katanya, syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital, Sedafiat Sdn Bhd, mendapatkan bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada jam 12.29 tengah hari bagi mencari punca gangguan bekalan elektrik dan melakukan proses pemulihan.

Punca gangguan bagaimanapun belum dikenal pasti.

Pemulihan bekalan dilakukan dengan menggunakan dua set janakuasa sedia ada di HQE serta mendapatkan set janakuasa tambahan dari SESB.

“Tindakan segera HQE dan JKNS serta syarikat konsesi adalah mendapatkan set janakuasa tambahan sebagai sokongan untuk janakuasa HQE sedia ada.

“SESB memberi bantuan dua set janakuasa mudah alih dari SESB Melawa, Sepanggar. Polis trafik membantu mengiringi kenderaan yang membawa janakuasa terbabit bagi melancarkan perjalanan ke HQE,” katanya.

Rose Nani berkata, setakat lewat malam tadi SESB dan syarikat konsesi masih melakukan proses membaikpulih bekalan elektrik.