Gangguan Bekalan Elektrik Di Sabah Dijangka Berkurang Pada 2021

4063

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah dijangka dapat dikurangkan dua kali ganda berbanding gangguan bekalan pada masa kini menjelang tahun 2021.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) Yeo Bee Yin berkata, Kerajaan Persekutuan sedang dalam proses melaksana projek memperkukuhkan talian transmisi elektrik di Sabah.

Apabila pengukuhan talian transmisi elektrik itu siap menjelang 2021, masalah gangguan disebabkan transmisi dan agihan bekalan elektrik akan dapat dikurangkan daripada empat kali ganda kepada dua kali ganda berbanding gangguan bekalan di Semenanjung Malaysia.

“Keutamaan kita di Sabah bukan untuk menjana bekalan elektrik sebaliknya untuk mengatasi masalah talian transmisi (penghantaran) dan agihan tenaga elektrik.

“Sabah mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi tapi masalah yang dihadapi adalah bagaimana penghantaran dan pengagihan bekalan dilakukan.

“Gangguan bekalan elektrik di Sabah tinggi disebabkan berlakunya masalah terhadap talian transmisi dan agihan tenaga elektrik.

“Dijangka menjelang penghujung tahun 2021, Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) bekalan elektrik di Sabah akan berkurang kepada 100 minit setiap pengguna pada setiap tahun.

“Dengan itu, gangguan bekalan akan berkurang dari empat kali ganda kepada dua kali ganda,” katanya kepada media selepas Taklimat Mestecc kepada Ketua Menteri Sabah, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini pada Selasa.

Yeo Bee Yin bersama Shafie Apdal dan Munirah Majilis di Pejabat Ketua Menteri pada Selasa.

Menurutnya, kadar lebihan bekalan elektrik di Sabah sama dengan Semenanjung Malaysia iaitu pada kadar 32 peratus. Namun, kadar gangguan bekalan elektrik di negeri ini empat kali ganda berbanding Semenanjung Malaysia.

Kemudian ditanya adakah Kerajaan Persekutuan masih melihat arang batu sebagai pilihan untuk penjanaan tenaga elektrik di Sabah, Yeo berkata, perkara itu masih diperingkat cadangan.

“Kita melihat kepada beberapa cadangan berlainan dan setiap cadangan kita akan lihat daripada pelbagai aspek. Masalah bekalan elektrik di Sabah bukan dari segi penjanaan tenaga elektrik tetapi disebabkan oleh talian transmisi dan agihan tenaga elektrik,” jelasnya.

Yeo berkata, beliau akan memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan keputusan terbaik akan diambil untuk rakyat Sabah agar mereka dapat memperoleh bekalan elektrik yang mempunyai harga berpatutan dan mampan.

Beliau juga menyatakan kesudian Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri bagi merangka perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan diumum dan diputuskan kelak.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, dalam taklimat itu, mereka melihat beberapa pendekatan untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah termasuk penggunaan empangan, gas serta arang batu.

“Sebahagian langkah yang diutarakan sebagai cara untuk atasi masalah bekalan elektrik. Namun, kita akan teliti secara mendalam dalam masa terdekat ini. Saya yakin keputusan kita boleh ketahui dalam masa satu atau dua bulan ini tentang langkah yang boleh diambil bagi atasi masalah bekalan elektrik di Sabah,” katanya.

Katanya, jika mempunyai kaedah pendekatan yang baik, Sabah mampu memperoleh bekalan elektrik yan bukan hanya pada harga berpatutan tetapi juga mampan.