Gangguan bekalan air di Labuan masuk hari ketujuh

LABUAN: Krisis bekalan air berlaku lagi dan telah melumpuhkan bekalan air di pulau bebas cukai ini, kini masuk hari ketujuh dengan 85 peratus rumah pengguna terjejas, sementara kontraktor yang dilantik Jabatan Bekalan Air Labuan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.

Usaha untuk membaiki kebocoran pam paip utama di lampu isyarat Jalan Rancha-Rancha sejak 7 Julai lepas setakat ini tidak berjaya berikutan kawasan terlibat telah ditenggelami air.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Labuan Muhammad Zulkeflee Yusof sebelum ini berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari untuk kerja baik pulih di kawasan yang terjejas bagi membolehkan pengguna mendapat kembali bekalan air bersih.

Kebocoran sepanjang 800 milimeter pada pam paip utama daripada tangki penerima di Pulau Enoe (yang membekalkan 85 peratus bekalan air kepada pengguna di pulau ini) dikesan pada Sabtu lepas dan kerja baik pulih bermula tiga hari kemudian.

Antara faktor yang menyulitkan proses pembaikan adalah kawasan paip yang bocor telah ditenggelami air meskipun air telah dipam keluar bagi kerja kimpalan, air dari bawah tanah masih membanjiri tempat berkenaan.

Kakitangan syarikat minyak dan gas, termasuk Petronas Carigali turut membantu tetapi masih tidak berjaya disebabkan hujan lebat telah membanjiri kawasan paip yang rosak.

Perbadanan Labuan dan Jabatan Bekalan Air Labuan menempatkan 43 tangki statik bekalan air bersih di 35 lokasi di 27 perkampungan dan kediaman penduduk, namun segelintir pengguna masih mengadu mengenai bekalan air yang tidak mencukupi.

“Wujud masalah komunikasi dengan penduduk. Saya tidak tahu bila ia (kerja pembaikan) akan selesai,” kata seorang penduduk, Aishah Bidin.

Seorang lagi penduduk, Elvinna Sibil berkata kekurangan air merupakan kesulitan yang terbesar.

“Kami hanya mandi ala-kadar sahaja beberapa hari ini. Baju kotor juga semakin banyak. Banyak perkara yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

Krisis itu turut menjejaskan Klinik Kesihatan Membedai dan Jabatan Bekalan Air Labuan telah menghantar bekalan air menerusi lori tangki setiap hari ke klinik berkenaan.

Penduduk berharap bekalan air dapat dipulihkan sebelum perayaan Aidiladha pada akhir bulan  ini.