Gangguan Air: LC Minta Bantuan Pakar Petronas, Sektor Minyak Dan Gas

 

LABUAN: Perbadanan Labuan (LC) telah meminta bantuan pakar dari Petronas Carigali dan sektor minyak dan gas untuk menyelesaikan masalah kebocoran paip pam utama yang membekalkan 85 peratus air kepada pengguna di pulau bebas cukai di sini.

Krisis air disebabkan kebocoran paip itu dijangka berpanjangan kerana kawasan yang terjejas (untuk kerja-kerja pembaikan) dibanjiri air dari paip lain (20 meter dari kawasan yang terjejas) yang juga mengalami kebocoran, menyebabkan tiga kontraktor yang dilantik Jabatan Air Labuan menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata bantuan pakar diperlukan memandangkan kesukaran yang dihadapi kontraktor dalam tempoh enam hari lepas.

“Kami meminta bantuan pakar dari Petronas Carigali dan sektor gas dan minyak, terutama mereka yang terlibat dalam kerja paip dan kimpalan dalam air untuk membantu menyelesaikan kebocoran paip pam kerana kawasan terjejas dipenuhi air.

“Kami sekarang melakukan yang terbaik bekerjasama dengan Jabatan Air untuk mengurangkan gangguan bekalan kepada pengguna dengan membekalkan air pada setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak itu hari ini.

Fary Akmal berkata peruntukan RM68 juta telah diluluskan untuk penggantian paip berusia lebih 30 tahun itu, yang merangkumi kira-kira 144 kilometer di pulau itu pada tahun depan, telah dijadual semula untuk dilaksanakan pada tahun ini berikutan keadaan mendesak itu.

“Kami akan berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mempertimbangkan permohonan kami supaya jadualkan semula kerja-kerja itu pada tahun ini,” katanya.

Penduduk di hampir 27 kampung di pulau itu menghadapi gangguan bekalan air sejak Selasa, dan sebahagiannya memilih menginap di hotel yang masih terdapat bekalan air.

Perbadanan Labuan dan Jabatan Air telah menempatkan 43 tangki air statik di 35 lokasi di 27 kampung dan kawasan penduduk, tetapi sesetengah pengguna mengadu bekalan air yang tidak mencukupi.