GAMIS Bantu Penduduk Terkesan Covid-19 Di Pantai Timur Sabah

KOTA KINABALU: Prihatin dengan nasib rakyat Sabah yang terkesan akibat pandemik Covid-19, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Sabah menyampaikan bantuan pek makanan di Pantai Timur Sabah.

Misi dikenali sebagai ‘Mission 4 Ummah #M4U’ dilakukan dengan kerjasama Pertubuhan Al Hikmah, GAMIS Youth Relief dan Pertubuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Pengerusi GAMIS Sabah, Mohd Asisal Abbas berkata, misi #M4U ini menyasarkan lima daerah utama iaitu Sandakan (Libaran dan Kinabatangan), Silam (Lahad Datu dan Kunak), Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Katanya, menerusi misi tersebut, 750 bantuan pek makanan disampaikan kepada keluarga yang memerlukan di lima daerah berkenaan. Selain itu, 50 kotak pelitup muka juga turut diagihkan ke setiap kawasan.

Antara pihak lain yang turut membantu misi kali ini adalah Dr Aliakbar Gulasan, NGO Sandakan Prihatin, Pemuda PAS Lahad Datu, Tawau, Semporna, PSS Kalabakan dan Yayasan Amal Cawangan Negeri Sabah, termasuklah Borneo Komrad yang memberi sumbangan set peralatan perlindungan peribadi (PPE) serta face shield.

“Semoga aktiviti kebajikan sebegini terus segar di bumi Malaysia. Saya juga berharap lebih banyak NGO dan individu di luar sana dapat menyumbang dan membantu golongan yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Asisal berkata, GAMIS Sabah akan terus menyantuni masyarakat dan mahasiswa pada masa akan datang.