Galeri Padi Mampu Jadi Tarikan Pelancong – Rakam

Rakam memukul gong sempena perasmian Pesta Kaamatan Kg Ulu Bakut / Bakut Muhibbah di Tuaran.

TUARAN: Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Rakam Sijim berkata Galeri Padi boleh diwujudkan sebagai tarikan pelancong ke Daerah Tuaran.

Beliau berkata galeri ini boleh mempamerkan pelbagai peralatan tradisional yang digunakan dalam kerja-kerja menanam padi sesuai dengan Tuaran yang dahulunya mempunyai kawasan tanaman padi yang luas.

“Peralatan yang digunakan untuk menanam padi telah berubah seiring dengan perkembangan teknologi.”

“Justeru, Galeri ini boleh menjadi tempat rujukan generasi muda mengenai kaedah dan peralatan yang digunakan dalam kerja-kerja penanaman padi sebelum ini.”

“Usaha ini akan dapat memelihara dan mempersembahkan peralatan-peralatan penanaman terdahulu”, jelas Rakam.

Rakam berkata demikian ketika merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Kg Ulu Bakut / Bakut Muhibbah, Tuaran baharu-baharu ini.

Pada masa kini, peralatan penanaman padi telah menjalani evolusi ke arah mekanisasi yang mempermudahkan kerja-kerja berkaitan pengeluaran padi.

Sempena perayaan itu, selain pertandingan Unduk Ngadau peringkat kampung berkenaan, pelbagai acara juga telah diatur termasuk sukaneka untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Menyentuh tentang perayaan tersebut, Rakam berkata ianya dapat memupuk persefahaman dan semangat kerjasama di kalangan penduduk kampung.

Meski pun pada hakikatnya Pesta Kaamatan disambut oleh kaum Kadazan namun kaum-kaum lain juga ikut sama dalam perayaan ini, satu keunikan di Negeri Sabah.

Turut hadir dalam sambutan perayaan ialah Datuk Madiem Layapan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Sementara itu, di acara yang sama Brahim Talip Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), melahirkan kesyukuran atas kejayaan sambutan acara tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut memohon agar kerajaan dapat meningkatkan kemudahan asas di Kg Ulu Bakut seperti jalanraya dan bekalan air bersih.

Perayaan yang disambut dengan meriah itu telah dihadiri oleh sekitar 300 orang penduduk termasuk dari kampung-kampung yang berdekatan.