Gaji Menteri, Pembantu Menteri & ADUN GRS Dipotong Tangani Pandemik

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri Sabah mengambil keputusan pemotongan gaji 50 peratus semua menteri dan pembantu menteri, selama dua bulan berkuatkuasa bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan Negeri mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri, semalam.

Katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga turut melepaskan 30 peratus daripada gaji mereka, selama sebulan.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik Covid-19.

“Kami dalam Kerajaan GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, Kabinet negeri turut mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 Covid-19 berjumlah RM120.47  juta dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik berkenaan.