Gajah Ditemui Di Ladang, Lahad Datu Mati Akibat Diracun

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kematian gajah betina dewasa yang ditemui mati di sebuah ladang sawit berhampiran Kampung (Kg) Perpaduan Skim Bagahak KM26, Tungku, Lahad Datu disyaki mati disebabkan keracunan toksemia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, bangkai gajah Pygmy Borneo itu ditemui pekerja ladang pada 6.30 pagi kemarin (9 Disember).

Beliau berkata, punca kematian gajah betina ini dipercayai sama dengan kes kematian gajah yang memakai kolar satelit dikenali sebagai Girang, yang mati akibat keracunan toksemia pada 16 November lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, gajah yang berusia antara 20 hingga 25 tahun itu dipercayai mati pada 7 Disember.

“Bedah siasat mendapati beberapa organ dalaman gajah ini tersumbat iaitu pada bahagian jantung, paru-paru dan hati. Terdapat darah beku pada jantungnya manakala, buah pinggang dan limpa gajah ini juga gagal berfungsi dan ususnya juga tersekat.

“Berdasarkan laporan bedah-siasat, punca kematian gajah itu berkemungkinan disebabkan termakan racun dan sampel tisu gajah itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Christina berkata, berdasarkan laporan diterima, tiada kecederaan luaran atau sebarang kesan tembakan ditemui pada badan gajah. Namun, ada pendarahan berlaku di bahagian telinga, hidung dan mulut.

Menurutnya, sepasukan ranger dari JHL Lahad Datu telah diarahkan ke lokasi bangkai gajah itu ditemui (9 Disember) bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan, sebaik sahaja menerima berita berkenaan.

Katanya, bedah siasat dilakukan oleh veterinar Dr Bong Ai Yin dari Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) dengan dibantu dua orang ranger WRU. Bedah siasat berjaya disiapkan pada hari yang sama.

“Sangat mengecewakan kerana kita kehilangan seekor lagi gajah Pygmy Borneo. Saya sudah menyatakan sebelum ini apa yang saya mahu.

“Saya merayu kepada semua pengusaha ladang dan pekerja mereka supaya tidak membunuh hidupan liar ini namun, kes kematian gajah ini terus berlaku.

“Pada keseluruhannya kita tahu warga Malaysia adalah warga yang penyayang namun, masih ada sesetengah orang yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Mereka seperti hilang rasa perikemanusiaan untuk melindungi hidupan liar yang ada di Sabah,” ujarnya.

Christina berkata, beliau tidak sabar menunggu pelaksanaan Pelan Tindakan Pengurusan Gajah 2020-2030 kerana antara perkara digariskan adalah meminta pengusaha dan pekerja ladang untuk bertanggungjawab jika ada gajah yang cedera mahupun mati di kawasan ladang mereka.

Dalam pada itu, beliau berharap Platun Tiger, Pasukan Gerakan Am Sabah akan membantu JHL Sabah dalam menangani isu pemburuan haram dan tindakan meracun hidupan liar ini.

Laporan polis telah dibuat pada hari yang sama dan pegawai penyiasat telah dilantik bagi menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan kes ini.

Penemuan bangkai gajah betina terbaru ini merupakan kematian keenam direkodkan sejak 25 September lalu.

Pada 25 September, seekor gajah dengan 70 kesan tembakan ditemukan mati di Sungai Udin, Dumpas, Tawau. Seterusnya pada 20 Oktober, seekor lagi gajah ditemui mati di sebuah ladang sawit di Beluran dengan kesan tembakan dan kedua-dua gading gajah dipotong.

Pada awal November, dua bangkai gajah ditemui masing-masing satu terapung di Sungai Kinabatangan dan satu lagi ditemui di parit berlumpur di sebuah ladang sawit di Lahad Datu.

Kematian gajah kelima ditemui pada 16 November di sebuah ladang di Sukau dengan kolar satelit yang dipasang pada lehernya. Gajah itu mati disebabkan termakan racun.