Gagal Tunjuk Bukti Pembelian Baja, Lelaki Dipenjara 2 Hari Dan Denda RM100

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara dua hari dan denda RM100 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberikan keterangan munasabah atas pembelian 891 karung baja di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Saparuddin Pallude, 40-an, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis Landmark Light Industrial Park, Batu 4, Jalan Apas, dalam daerah Tawau pada 29 Februari 2020, pada pukul 12 tengah hari.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh gagal memberikan keterangan yang memuaskan memiliki baja jenis MOP sebanyak 856 karung, BM (19), NK (2) dan Agromate (14).

Terdahulu, pada 27 Februari 2020, mangsa membuat laporan polis mengatakan baja miliknya yang disimpan di dalam gudang berkurangan.

Menurut pekerja mangsa, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih berada di kawasan gudang dan membawa beberapa baja milik mangsa sebelum ia disedari hilang.

Hasil siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan tertuduh bersama kenderaan tersebut di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Segama Lama, Lahad Datu.

Tertuduh kemudian memaklumkan polis, baja berkenaan telah dijual kepada oleh individu yang tidak dikenali sebelum dia menjualnya semula ke pihak lain beralamat di Landmark Light Industrial Park.

Pemeriksaan lanjut di lokasi tersebut berjaya menemui baja yang dilaporkan hilang oleh mangsa.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22A Undang Undang Kesalahan Kecil CAP 80 Sabah yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Majistret Dzul Elmy Yunus dalam penghakimannya berkata tertuduh sepatutnya tahu atau memiliki invois pembelian memandangkan baja yang dibeli dalam kuantiti banyak.

Selepas mengambil kira kerugian mangsa selain kecuaian tertuduh Dzul Elmi kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua hari bermula hari ini dan denda RM100 gagal bayar penjara dua hari.

Dzul Elmy turut memerintahkan semua baja yang dirampas diserahkan semula kepada mangsa.

Pendakwa dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.