Gagal Kemukakan Dokumen, Bot Tunda Ditahan Maritim Labuan

LABUAN: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan, berhampiran Pulau Burung, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot peronda
Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut, menahan bot tunda itu kerana operatornya gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan semasa diperiksa.

Antara kesalahan dilakukan, tiada nama
master di belakang Buku Certificate of Malaysia Registry dan gagal mematuhi
keanggotaan seperti dalam syarat Lesen Perkapalan Domestik (DSL).

Katanya semasa diperiksa, bot tunda berkenaan dikendalikan oleh tujuh kru termasuk kepten, kesemuanya warganegara Indonesia yang berusia dalam lingkungan 25 tahun hingga 50 tahun.

Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO)1952 kerana gagal
mengemukakan dokumen dan mematuhi syarat dokumen.

Bot tunda terbabit ditahan serta kesemua kru dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk
siasatan lanjut.

Nudin berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salah laku jenayah di laut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau salah laku di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.