Gagal Kemuka Dokumen Sah 6 Warga Asing Ditahan Maritim Tawau

67

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam lelaki warga Indonesia, yang menyusup masuk menggunakan laluan tidak diwartakan menerusi Sungai Melayu, Pulau Sebatik dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata enam lelaki, terdiri daripada juragan dan lima penumpangnya ditahan pada 9.30 pagi, oleh anggota yang menjalankan rondaan serta pemeriksaan rutin di kawasan tanggungjawab.

“Pemeriksaan mendapati juragan bot berumur 26 tahun itu, mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi lima penumpang yang lain terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 26 hingga 49 tahun, gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bot dan kesemua suspek di bawa ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang di Sabah dapat dibanteras dan dikurangkan.

Menurutnya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.