Gagal Bayar Gaji Tertunggak, Pengusaha Kilang Cedera Akibat Diserang

KOTA KINABALU: Kegagalan menjelaskan gaji tertunggak pekerja mengakibatkan pengusaha sebuah kilang di Sepanggar cedera akibat diserang empat lelaki termasuk bekas pekerja kilang berkenaan.

Dalam sebuah video tular dalam aplikasi Tiktok yang berdurasi 33 saat memperlihatkan pergaduah dua kumpulan lelaki yang dipercayai berpunca akibat tidak berpuas hati kerana tunggakan gaji.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 1 Disember lalu, kira-kira jam 12.15 tengah hari di hadapan sebuah kilang makanan laut di Sepanggar.

Dalam kejadian itu, empat lelaki telah menyekat laluan keluar masuk kilang tersebut dengan mengunakan sebuah kereta Perodua Bezza berwarna merah dengan tujuan hendak berjumpa dengan pengusaha kilang tersebut yang dikatakan gagal menjelaskan gaji sebanyak RM 10,000 kepada salah seorang lelaki berkenaan.

Rakan kepada pengusaha kilang berkenaan telah mengarahkan kumpulan lelaki tersebut supaya mengalihkan kenderaan agar tidak menghalang laluan keluar dan masuk ke kilang berkenaan namun, tidak diendahkan.

Kemudian, rakan kepada pengusaha kilang bertindak membaling alat pemadam api ke arah kereta tersebut hingga menyebabkan cermin tingkap kereta pecah

“Kumpulan lelaki tersebut bertindak balas dengan menyerang, menumbuk dan memukul pengusaha kilang dan rakannya termasuk menggunakan rantai besi.

“Salah seorang lelaki juga telah mengambil sebilah parang dan cuba menyerang pengusaha kilang dan rakannya namun telah diredakan oleh ketua kumpulan lelaki tersebut.

“Akibat kejadian ini pengusaha kilang mengalami cedera ringan di telinga kiri dan sakit- sakit di tubuh badan manakala, rakannya cedera di belakang kepala dan menerima lima jahitan di Klinik Kesihatan Menggatal,” katanya.

Pihak polis kemudiannya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera dengan senjata bahaya).

Susulan itu, pada Ahad, ketua kumpulan lelaki yang berusia 47 tahun dan pekerja kilang berusia 53 tahun telah ditangkap dan rantai besi yang digunakan untuk menyerang mangsa dan kereta Perodua Bezza telah dirampas untuk siasatan.

Mohd Zaidi berkata, polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang terlibat dalam kes ini dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka melalui video yang diviralkan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Vermal A/L Subramaniam di talian 010-2314432.

Dalam pada itu, polis mengesahkan kejadian pergaduhan/rusuhan ini tidak melibatkan unsur-unsur kongsi gelap dan ia berpunca kepada rasa tidak puas hati bekas pekerja kepada majikan atau rakan kongsi yang masih gagal menjelaskan baki gaji tertunggak.

Justeru itu, polis menasihatkan semua pihak untuk menggunakan saluran undang-undang sedia ada sekiranya menghadapi masalah berkaitan kewangan atau hutang yang tidak dijelaskan.

“Jangan mengambil tindakan yang melanggar undang-undang kerana ia akan mengeruhkan keadaan dan berisiko kepada kejadian jenayah,” katanya.