Gadai Nyawa Untuk Pergi Sekolah Akibat Jambatan Gantung Rosak

Seorang penduduk sedang membantu kanak-kanak sekolah menyeberangi sungai kerana jambatan gantung rosak.

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
SOOK: Kanak-kanak sekolah di Kampung Batu Lunguyan disini terpaksa menggadai nyawa menyeberangi sungai untuk pergi ke sekolah yang terletak setengah batu dari kampong mereka setelah jambatan gantung mereka rosak akibat banjir baru-baru ini.

Menurut jurucakap penduduk Panandis @ Francis Unsing, beberapa kanak-kanak yang kecil terpaksa ponteng sekolah selama beberapa hari disebabkan air sungai terlalu dalam dan merbahaya untuk mereka menyeberangi.

Katanya, walaupun hanya sembilan kanak-kanak dari empat keluarga terjejas, jambatan gantung itu adalah satu-satunya infrastruktur asas yang mereka ada untuk pergi ke kampong sebelah dimana terletak sekolah SK Batu Lunguyan.

“Tanpa jambatan ini kami terkandas. Bila air besar kami tidak dapat menyeberang sebab terlalu bahaya. Tetapi anak-anak kami harus pergi ke sekolah,” katanya.

Tambahnya, kanak-kanak yang remaja mampu berenang ke seberang tetapi yang masih kecil terpaksa diangkat oleh ibubapa di bahu. Bagaimanapun, banjir baru-baru ini menjadikan sungai terlalu bahaya untuk diseberangi.

Gambar atas dan bawah: penduduk menunjukan jambatan yang rosak akibat banjir kilat baru-baru ini.

Panandis berkata lima tahun lalu penduduk telah menulis surat kepada wakil rakyat untuk membaiki jambatan gantuk mereka yang sudang using.

“Permohonan kami diluluskan tapi mereka bina pula sebuah jambatan gantung yang terletak jauh dari kampong kami dan menyukarkan kami,” katanya.

Adrian Lasimbang

Dia menambah bahawa apabila penduduk kemudian memohon sebuah jambatan gantung baru, permohonan mereka tidak diluluskan.

Akibat itu, mereka terpaksa bergotong royong membaiki jambatan gantung itu walaupun kekurangan perkakas.

Sementara itu, penyelaras DAP Pensiangan Adrian Lasimbang berkata dia telah ditemui oleh penduduk kampong yang memohon bantuan untuk menggantikan jambatan yang rosak itu.

“Adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan infrastuktur asas kepada penduduk. Ia sangat meyedihkan apa yang dilalui oleh penduduk di situ,” ujar Lasimbang. “Ramai mungkin tidak tahu betapa pentingnya jambatan gantung itu kepada mereka.

“Bagi kami di DAP Pensiangan, kami sedia membantu. Jika kerajaan enggan respon kepada kesusahan mereka kami akan bergotong royong untuk membina jambatan baru,” tambahnya.

DAP telah berjaya membuat beberapa projek komuniti dibawah “Impian Sabah” antaranya projek bekalan air graviti, bekalan eletrik yang meggunakan sumber semulajadi dan akses seperti jambatan.

“Kebanyakkan projek kami jalankan kerana pihak kerajaan hanya membuat janji kosong kepada penduduk. Kami tidak suka membuat janji kosong.

“Sebaliknya kami mahu bantu penduduk menikmati infrastruktur asas kerana semua itu bukan hanya keperluan mereka tetapi juga hak asasi mereka,” tambah Adrian.

Ahli Parlimen Pensiangan, Joseph Kurup, dan Wakil Rakyat Sook, Ellron Alfred Angin tidak dapat dihubungi untuk komen.