Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peroleh Majoriti Kerusi

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 memperlihatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 45 kerusi daripada 82 kerusi dipertandingkan setakat 8.45 malam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, GPS berjaya memperoleh lebih 50 peratus daripada jumlah kerusi dipertandingkan.

Proses pengundian hari ini membabitkan seramai 1.213 juta pengundi biasa dan 20,360 orang merupakan pengundi awal manakala, 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Pengundi hari ini melakukan proses mengundi di 1,951 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 3,666 saluran di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRN Sarawak kali ini seramai 349 orang calon bertanding bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.