Gabungan Belia Zon Utara Kota Belud Anjur Karnival Varia-C Muhibbah

Zamzuri Pandikar Amin Mulia (duduk tengah) bersama Setiausaha Karnival Varia-C Belia Muhibbah, Saliman Yadsah (duduk kiri) menunjuk poster karnival selepas sidang media.
Zamzuri Pandikar Amin Mulia (duduk tengah) bersama Setiausaha Karnival Varia-C Belia Muhibbah, Saliman Yadsah (duduk kiri) menunjuk poster karnival selepas sidang media.

KOTA KINABALU – Karnival Varia-C Muhibbah yang sedang berlangsung sejak 10 Sept lalu di Dewan Terbuka Sri Dungku’aan Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, bertujuan mengeratkan hubungan komuniti belia dengan masyarakat.

Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Induk karnival itu, Zamzuri Pandikar Amin berkata karnival itu adalah program khusus melibatkan komuniti belia bersama masyarakat di sekitar Kota Belud.

Beliau berkata karnival yang julung kali diadakan itu merupakan program perintis yang dilaksanakan oleh Gabungan Persatuan Belia Zon Utara Kota Belud dan bakal dilaksanakan setiap tahun.

“Karnival ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan semua persatuan belia di Kota Belud, selain melatih dan menimba ilmu dalam berorganisasi atau berpasukan dalam mengembangkan potensi sahsiah diri,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Zamzuri berkata pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang karnival itu termasuk pertandingan sukan seperti bola sepak, futsal dan sepak takraw serta pertandingan lain seperti tarian kebudayaan, memasak, lumba perahu serta pertunjukan kereta.

“Penekanan konsep ‘riadah santai’ adalah penghibur kepada setiap peserta yang menyertai aktiviti berbentuk sukan yang turut berunsurkan kerohanian, kekeluargaan dan kebudayaan,” katanya.

Zamzuri berkata pelancaran karnival berkenaan dijangka akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada hari kemuncak karnival itu Ahad ini dan dijangka 5,000 pengunjung hadir memeriahkan lagi acara itu.