Fokus Dalam Kelas, Ulangkaji Resipi Cemerlang Pelajar SPM Terbaik Labuan

1023
Audrey menerima keputusan daripada Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin.

LABUAN: Sentiasa fokus dalam kelas dan mengikuti jadual ulangkaji pembelajaran merupakan resipi keputusan cemerlang pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Labuan.

Pelajar SMK Labuan, Audrey Agang Teo Li Xin diumum pelajar terbaik hari ini selepas memperoleh 9 A+ dan 1A dalam SPM 2018 yang turut ditemani oleh kedua ibu-bapanya yang menyatakan kejayaan Audrey adalah atas kegigihannya sendiri.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru sekolah atas kesungguhan mereka dalam memastikan pelajar-pelajar memperolehi keputusan cemerlang.

“Memberi 100 peratus fokus dalam kelas banyak membantu saya memahami setiap sabjek yang diajar dan ianya akan membantu mengurangkan masa menelaah buku bila masa peperiksaan,” katanya kepada media di Dewan SMK Labuan hari ini (Khamis Mac 14, 2019).

Pelajar-Pelajar terbaik SPM Labuan

Audrey merancang untuk meneruskan pelajaran A-Level sebelum memilih universiti yang sesuai dengan kerjaya yang dipilihnya.

Bagi Mohammad Ezlii Erzuan Lee, pelajar SM Sains Labuan berkata mengikuti jadual ulangkaji pelajaran merupakan resipi kejayaannya memperolehi 2A+, 6A , 1A dalam SPM 2018.

“Saya bangga dengan keputusan cemerlang SPM kali ini, dimana usaha gigih mengikuti jadual ulangkaji terbuki banyak membantu.

“Saya berlatih setiap hari bagaimana menjawab soalan-soalan, dan tidak dinafikan cikgu-cikgu banyak juga membantu kejayaan saya ini melalui ceramah-ceramah,” katanya.

Gred Purata Negeri (G-P-N) Labuan untuk SPM 2018 meningkat 4.98-peratus, berbanding 4.94-peratus pada tahun 2017.

Peratusan calon layak mendapat sijil, juga meningkat kepada 92.72 peratus atau 840 orang calon, berbanding 89.48 peratus pada tahun sebelumnya.

Seramai 906-calon sekolah kerajaan telah menduduki peperiksaan itu, di 10 buah pusat peperiksaan, tahun lepas.