KOTA BELUD: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melihat operasi Forward Operating Base (FOB) yang mula dilaksana sejak 1 Dis di Usukan Cove Resort akan meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di perairan Pantai Barat Sabah.
Pelaksanaan FOB Teluk Usukan itu bukan hanya memberi sokongan logistik tetapi, turut meningkatkan keberkesanan operasi melalui pendekatan show of force & deterrence di lapangan.
Menerusi satu kenyataan TLDM hari ini, selain daripada pencegahan pendatang asing tanpa izin (PATI), operasi tersebut juga akan memberi tumpuan kepada masalah jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan penyeludupan.
Selain itu, keupayaan memintas sasaran di laut juga dapat ditingkatkan dengan bantuan maklumat pengesanan kontak menggunakan radar pihak Maritim Malaysia yang terdapat di Pulau Gaya, Pulau Mantanani dan Pulau Balambangan.
Diharapkan inisiatif ini akan dapat meningkatkan keselamatan perairan Sabah Barat dan kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Sazalee Shoib merangkap Eastern Maritime Component Commander. Turut hadir pegawai-pegawai kanan agensi-agensi terlibat termasuklah dari Jabatan Kesihatan Kota Belud, Pejabat Daerah Kota Belud dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud.
Sebelum ini, Operasi Benteng 1/20 dilancarkan pada 11 Mei bertujuan mengekang kemasukan PATI yang dibimbangi akan menyebarkan jangkitan wabak Covid-19 dari luar negara secara tidak terkawal.
Lanjutan itu, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu telah melancarkan Operasi Benteng Laut Timur 1/20 pada 12 Mei sebagai Eastern Maritime Component yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal perairan Sarawak dan Sabah Barat.