Fitnah! Tidak Wujud Permohonan Bagi 180 Ekar Tanah Di Kg Biah Skim

4358
EDWARD BINBANG

KENINGAU: Surat permohonan bagi 180 ekar (kira-kira 72 hektar) tanah yang tular di media sosial baru-baru ini kononnya untuk diagihkan dalam kalangan penyokong Parti Warisan Sabah sebenarnya tidak wujud, kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan Sook, Edward Binbang.

Katanya beliau telah menyiasat dakwaan surat permohonan tanah di Kampung Biah Skim, Sook itu yang kononnya mendapat sokongan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Keningau dan mendapati tidak ada permohonan bagi tanah seluas itu didaftarkan di pejabat berkenaan.

“Selaku PPM di kawasan ini (Sook), saya melihat perkara ini perlu diambil perhatian bagi memberi jaminan kepada seluruh rakyat di Sook bahawa perkara ini tidak berlaku,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menasihatkan rakyat di kawasan itu, khususnya netizen, agar tidak menyebarkan perkara yang tidak jelas sehingga menimbulkan kerisauan masyarakat.

Edward berkata Pejabat PPHT Keningau turut memberitahunya tidak ada lagi tanah kerajaan di kawasan Kampung Biah Skim yang kosong untuk dimohon.

Surat permohonan tanah yang tular itu kononnya dipohon oleh seorang bernama “Abdul bin Naim” bersama 12 orang lagi daripada Kampung Lingkudau di sini, telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen apabila surat itu juga dikatakan mempunyai tandatangan Mohd Shafie.