Festival Kraf Tekstil Borneo Di Kota Kinabalu Sasar Jualan RM500,000

309
Imbas Kembali: Festival Kraf Tekstil Borneo 2018

KOTA KINABALU: Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 menyasarkan jualan lebih 500,000 menerusi penglibatan seramai 87 usahawan kraf tekstil dari Sabah dan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata festival yang berlangsung mulai semalam hingga 21 April, di pusat membeli-belah Suria Sabah, dekat sini, dijangka menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung yang dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata festival itu adalah platform mengetengahkan bakat-bakat kraftangan khususnya dalam kalangan generasi muda dari kedua-dua negeri berkenaan selain usaha membantu memperluas lagi pemasaran produk kraf tekstil mereka termasuk batik dan songket.

“Produk kraf tekstil tempatan sememangnya bagus dan mempunyai kualiti tinggi sebab itu adakalanya (harga) batik dan songket diperbuat daripada tenunan tangan mampu mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

“Festival ini adalah ruang bagi mengetengahkan bakat kraf tekstil khususnya dalam kalangan generasi muda dan sudah pasti akan ramai pengunjung datang ke festival ini dan membeli produk mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual secara langsung menerusi radio SabahFM di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamaddin turut bercadang menubuhkan Institut Kraf Sabah bagi mengetengahkan dan menggilap lebih ramai bakat-bakat muda dalam bidang kraftangan di negeri itu.

Setakat ini, cawangan Institut Kraf di Sabah dikelolakan di bawah Yayasan Sabah menerusi Pusat Kraftangan, katanya.