FERI TERMINAL LABUAN TERUS DIAMBANG KESEPIAN

LABUAN: Dua perkataan sinonim saban tahun dilaporkan adalah ‘sesak dan terkandas’ di Terminal Feri Labuan setiap kali menjelang musim perayaan khususnya Hari Raya.

Namun amat berbeza Aidilfitri tahun ini, Terminal Feri Labuan yang tidak pernah lengang dengan himpunan orang, kini sepi meskipun masih ada pergerakan feri berjadual setiap hari.

Pergerakan feri masih ada, tetapi bukan untuk mengangkut penumpang ke seberang tanah besar Sabah untuk merayakan hari-raya bersama keluarga, ianya lebih kepada pengangkutan barangan keperluan pengguna.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac ‘membataskan’ pergerakan feri dengan hanya satu trip pelayaran diluluskan untuk setiap feri dari Labuan – Menumbok – Labuan.

Operator feri dan agen pengurusan tiket mengalami tren penurunan drastik pengendalian penumpang, kenderaan dan jualan sehingga melebihi 90 peratus sejak PKP dikuatkuasakan.

Meskipun PKP Bersyarat melihat kepada sektor ekonomi beroperasi semula, namun ianya tidak meransangkan semula operasi pergerakan feri, berikutan arahan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan masih berjalan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari mengesahkan tidak ada kakitangan perubatan jabatan itu dibenarkan bercuti pada sambutan Hari Raya kali ini.

“Kumpulan perubatan kami akan bertugas di Terminal Feri Labuan untuk tugasan pemeriksaan kesihatan dan ujian calit tekak kepada mana-mana pengendali kenderaan atau penumpang yang dibenarkan rentas negeri pada musim perayaan ini.

“Mereka ini telah bertugas sejak awal PKP sehinggalah sekarang, dan berbuka puasa pun diterminal inilah kami” katanya hari ini.

Tidak seperti sebelum ini (sebelum arahan rentas negeri tidak dibenarkan), terdapat lebih seratus penumpang keluar masuk Labuan, dan kini hanya tidak lebih 30 orang setiap hari.

Kumpulan perubatan Jabatan Kesihatan Labuan dan anggota polis juga ditempatkan di Lapangan Terbang Labuan bagi memastikan tiada penumpang ingkar arahan rentas negeri.