Feri Khas Untuk Pelajar Perlu Disediakan Di Kampung Tanjung Aru

SANDAKAN: Penduduk pulau Kampung Tanjung Aru memerlukan sebuah bot pengangkutan khas untuk mengangkut pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah dari kampung tersebut ke bandar setiap hari ini.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan penduduk di situ kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong ketika beliau melawat kampung tersebut hari ini.

Vivian berkata, walaupun kampung tersebut bukan dalam kawasan Parlimen Sandakan, namun beliau berasa bertanggungjawab tentang insiden perlanggaran bot yang berlaku semalam dan datang ke kampung itu hari ini untuk berdialog dengan penduduknya.

“Saya telah bercakap dengan penduduk kampung, mereka tidak minta banyak cuma bot untuk mengangkut pelajar pergi balik ke Sandakan setiap hari, saya dapati permintaan ini perlu kerana setiap hari bot penumpang yang ada sesak.

“Mereka tiada pilihan, sesiapa yang mahu pergi sekolah terpaksa naik apa sahaja bot yang ada kerana tidak cukup sebab itulah selalu sesak,” katanya ketika ditemui pemberita di pulau berkenaan.

Vivian berkata, sehubungan itu, beliau akan melakukan kajian dan mencari jalan untuk menyediakan sebuah feri khas yang boleh mengangkut lebih 50 pelajar dari pulau itu setiap hari.

Katanya, penduduk di kampung itu adalah rakyat Malaysia, justeru mereka layak untuk mendapatkan infrastruktur asas seperti pengangkutan yang baik untuk pergi ke sekolah.

Sementara itu, sempena kunjungan ke kampung berkenaan, Vivian turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat dalam insiden bot karam semalam.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis Koperal Asman Ongkal, 37, lemas selepas membantu menyelamatkan penumpang-penumpang lain.

Sebanyak 37 penumpang berada di dalam bot itu ketika kejadian termasuk 28 murid dan pelajar.