Felda Cadang Sabah Wujud Kawasan Konservasi Gajah

75

TAWAU: Felda akan berbincang dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah tentang cadangan mewujudan kawasan konservasi gajah di Kalabakan dekat sini, seperti yang terdapat di Pahang dan Perak.

Pengarah Perladangan Felda, Izham Mustaffa berkata pewujudan pusat itu untuk mengelakkan haiwan itu terus menjadi ancaman kepada ladang kelapa sawit di Felda Umas.

“Pernah kita (Felda) buat pemindahan gajah-gajah terbabit, namun gajah gajah yang dipasang kolar dan ditag (ditanda) dikesan kembali semula ke kawasan ini (Felda Umas).

“Sebab itu kita (Felda) kena berbincang dengan perhilitan (JHL) untuk mencari satu kawasan yang lebih tetap, dan lebih tersusun untuk mengurus gajah liar yang masih berlegar di kawasan Felda Umas,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Penerangan Kepada Petugas Felda dan Ketua-Ketua Peneroka Wilayah Sahabat Berkenaan Kaedah Pengurusan dan Perlindungan Hidupan Liar di Dewan Felda Gugusan Umas, di Kalabakan, hari ini.

Beliau difahamkan terdapat lebih 40 ekor gajah dewasa sahaja di dalam kawasan ladang Felda Umas yang mengancam ladang kelapa sawit, selain masuk ke perkampungan sehingga mengganggu kehidupan penduduk.

Dalam pada itu, Izham berkata selain JHL, pihaknya juga akan berhubung dengan beberapa pihak lain termasuk syarikat perladangan lain serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menyediakan pusat konservasi gajah.

Sementara itu, katanya, gajah antara haiwan yang menjadi ancaman kepada ladang kelapa sawit di Felda seluruh negara sehingga mendatangkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

“Kos pindah (gajah) tinggi kadang-kadang sehingga mencecah RM40,000 seekor, kalau pindah selesai tidak apa, tetapi ini (gajah) datang balik, ini tidak termasuk kerugian pokok-pokok yang dirosakkan lagi,” katanya.