Felcra Labur Hampir RM100 Juta Buka Ladang Baharu Di Pulau Banggi

1093

nenas

KOTA KINABALU – Felcra Berhad (Felcra) akan melabur hampir RM100 juta untuk keseluruhan fasa pembukaan ladang baharu berkeluasan 3,800 hektar untuk projek penanaman nanas, pisang dan kelapa di Pulau Banggi, Kudat.

Bung Mokhtar
Bung Mokhtar

Pengerusinya Datuk Bung Moktar Radin berkata pembukaan tiga sektor komoditi baharu itu akan melibatkan usahasama dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), sebuah agensi di bawah kerajaan Sabah.

Beliau berkata projek berbentuk komersial itu bakal menjadi platform dalam membangunkan dan mentransformasikan Pulau Banggi, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Kerajaan Sabah melalui ketua menteri (Datuk Seri Musa Aman) sudah meluluskan tanah bagi membangunkan ladang baharu ini.

“Bagaimanapun, projek ini masih dalam perbincangan dan jika semua berjalan lancar, ia akan dimulakan pada Januari 2017,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 50 Tahun Felcra peringkat Sabah di sini hari Ahad.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Nilwan Kabang, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Zulkarnain Md Eusope dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Sabah Irman Apok.

Bung Moktar berkata projek pertanian berskala besar seumpama itu sememangnya memerlukan teknologi dan tenaga pakar dalam bidang berkaitan bagi memantau dan menguruskan ladang dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil makanan.

Beliau turut mengesyorkan kerajaan Sabah mewartakan mana-mana tanah ladang yang dikenal pasti menjadi pengeluar hasil makanan sebagai tanah khusus untuk pengeluaran makanan bagi menjamin masa depan gedung makanan negara.

“Apabila tanah itu diwartakan maka industri lain tidak boleh dibangunkan di tanah tersebut,” katanya sambil menambah kesuburan tanah di Sabah perlu dimanfaatkan bagi memastikan sumber makanan mencukupi pada masa akan datang.