Farahanne Beaty, Pelajar KDM Pertama Wakili Negara Ke China

1127

KENINGAU: Farahanne Beaty, 13, melakar sejarah sebagai pelajar daripada kaum Kadazandusun dan Murut (KDM) yang pertama terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan National Kids Talent Search (NKTS) di Shandong, China pada 26 Nov ini.

Guru nyanyiannya Chung Fui Sen berkata penyertaan anak muridnya itu disifatkan sebagai sangat luar biasa kerana seorang yang bukan berketurunan Cina bakal bertanding menyanyikan lagu berbahasa Mandarin pada pertandingan berprestij anjuran China Hunan Satellite TV itu, yang sering meraih jutaan penonton di seluruh dunia.

Katanya, bakat pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah (SM) Ken Hwa Keningau itu dicungkil menerusi pertandingan menyanyi NKTS International Youth Culture and Art Awards 2018 di Kuala Lumpur pada Jun lepas yang mana Farahanne dinobatkan sebagai ‘New Star Malaysia’ untuk melayakkannya bertanding di China.

Lagu bahasa Mandarin bertajuk ‘Wo Xiang You Ge Jia’ (‘Saya Harap Ada Keluarga Yang Sempurna’) (‘I Want To Get A Home’) yang dipopularkan oleh penyanyi asal Eagle Pan Mei Chen dari Taiwan memberi tuah kepada Farahanne untuk terbang ke China bagi cabaran peringkat akhir.

“Farahanne telah mempersembahkan kebolehannya dan menggunakan bakat dengan semaksimumnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini Selasa.

Chung menyifatkan anak muridnya itu sebagai seorang pelajar yang genius dan mampu menghafal lirik sesebuah lagu dalam hanya beberapa minit.

“Keputusan pelajarannya juga sangat baik dan Farahanne bijak mengatur masa untuk aktiviti menyanyi, belajar dan kegiatan ko-kurikulum,” tambahnya.

Katanya Farahanne pernah mewakili Malaysia ke pertandingan nyanyian Bakat Seluruh China di Beijing pada 2017, dan berjaya menggondol pingat emas dengan mengalahkan 200 peserta lain dari seluruh dunia.