Fakulti Pengajian Islam UMS Bantu Sabah Lahirkan Ramai Cerdik Pandai Islam

KOTA KINABALU: Penubuhan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 10 Mei lalu mampu menerapkan pengajaran berdasarkan amalan Islam mengikut budaya masyarakat berbilang kaum Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, pewujudan fakulti itu juga sekali gus mampu melahirkan ramai golongan cerdik pandai Islam dalam kalangan anak tempatan.

“Pada peringkat awal ini, kita menawarkan Program Pendarasan (Pengajian) Islam di peringkat ijazah sarjana muda dengan kapasiti pelajar sehingga 60 orang.

“Ia sudah memasuki kumpulan keempat yang menyaksikan pelajar kumpulan pertama bakal bergraduasi pada tahun ini.

“Untuk makluman, program tersebut sebelum ini berada di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Dengan pewujudan Fakulti Pengajian Islam, ia akan lebih berfokus dan pelbagai program lain yang berkaitan juga boleh ditawarkan kelak berdasarkan keperluan semasa seiring dengan UMS Kampus Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Taufiq berkata, UMS juga kini dalam perancangan untuk menawarkan program Syariah dan Usuludin yang mampu memenuhi keperluan semasa berdasarkan ‘uruf setempat kerana Islam merupakan ajaran yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian.

“Apabila kedua-dua program ini mula ditawarkan, kita menyasarkan untuk mengambil 180 orang pelajar bagi ketiga-tiga program pengajian Islam ini.

“UMS juga merancang untuk menawarkan program pascasiswazah secara penyelidikan dan kerja kursus pada masa akan datang.

“Di samping itu, ada juga program gabungan yang akan ditawarkan seperti program Islam dan komunikasi serta bidang yang bersesuaian seperti teknologi makanan, kewangan global dan psikologi agar kemahiran yang ada boleh digunakan dalam bidang lain sebagai langkah memberikan nilai tambah kepada setiap profesional Islam di Sabah.

“Penubuhan fakulti ini juga dilihat akan membantu meningkatkan hubungan antarabangsa Malaysia dengan negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Indonesia menerusi kerjasama dalam penyelidikan” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq menjelaskan bahawa penubuhan fakulti tersebut membolehkan para penuntut dididik berdasarkan amalan Islam mengikut budaya masyarakat Sabah yang unik dan harmoni serta mempunyai toleransi yang tinggi walaupun berbeza agama.