Faktor Usia Mungkin Penyumbang Kematian Badak Sumbu Sumatera

A healthier Tam back then. – Photo courtesy of Borneo Rhino Alliance (BORA)

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengesahkan laporan berhubung kematian Badak Sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia pada Isnin.

Christina, yang juga Timbalan Ketua Menteri itu berkata, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga memaklumkan mengenai berita sedih berkaitan kematian badak sumbu sumatera iaitu Kertam atau dikenali sebagai Tam pada tengahari tadi.

“Dukacita dimaklumkan Tam disahkan mati sekitar tengahari, Isnin (27 Mei). Segala cara yang boleh dilakukan untuk menyelamatkannya telah dilakukan dan ia dijaga dengan sepenuh perhatian dan kasih sayang.

“Minggu-minggu terakhirnya memperlihatkan Tam diberikan penjagaan paliatif yang rapi oleh pasukan Borneo Rhino Alliance (BORA) dengan diketuai oleh veterinar Dr Zainal Zahari Zainuddin di Sanktuari Badak Sumbu Sumatera di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini pada Isnin.

Menurutnya, punca kematian Tam akan dimaklumkan kemudian setelah autopsi dilakukan terhadap hidupan liar berkenaan.

Bagaimanapun beliau percaya kematian Tam disebabkan faktor usia yang sudah tua dan beberapa organ dalamannya gagal berfungsi dengan baik.

Ketika ia mula-mula ditangkap di kawasan ladang kelapa sawit di Kretam, Tawau pada Ogos 2008, difahamkan usianya ketika itu dalam pertengahan 20an. Ini bermakna usia Tam sekarang sudah agak tua bagi badak sumbu sumatera.

Christina berkata, jika dilihat dari sudut positif, genome Tam dilindungi dalam sel.

“Kita berharap dengan penggunaan teknologi di sel itu dan tahap molekularnya, ia mungkin boleh digunakan untuk menyelamatkan spesis berkenaan daripada pupus,” ujarnya.