Facebook Sekat Akaun Sabah-Sarawak Merdeka

590

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PETALING JAYA: Akaun Sabah-Sarawak Merdeka yang memaparkan gambar edit menghina Yang di-Pertuan Agong telah disekat oleh Facebook, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ketua Polis Negara berkata, meskipun telah disekat, orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau mengongsi tangkapan skrin ciapan akaun berkenaan yang menggunakan gambar wajah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Orang ramai jangan sebarkan dalam apa sahaja sosial media atau rangkaian komunikasi.

“Ciapan berkenaan bertujuan mencetuskan provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sehingga kini sebanyak 209 laporan polis diterima berhubung perkara itu.

“Kami masih mengesan pemilik akaun facebook itu.

“Masalah ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan,” katanya.

Beliau berkata, pihak bertanggungjawab boleh ditahan dan denda lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Bukit Aman menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pihak yang bertanggugjawab itu.

“Mengedit gambar itu adalah perbuatan menghina raja dan jelas melanggar undang-undang,” katanya yang mengutuk perbuatan tersebut.