Ewon Syor KPLB Diberi Peruntukan Khas PPRT Dalam Bajet Sabah 2020

191

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Datuk Ewon Benedick (gambar) mengesyorkan agar kementeriannya diberi peruntukan khas dalam Bajet Negeri 2020 bagi melaksanakan pelbagai projek prasarana baharu yang dirancang untuk manfaat masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, antaranya berkaitan Program Perumahan Rumah Rakyat Termiskin (PPRT), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Alternatif.

Katanya, cadangan itu dikemukakan berdasarkan keperluan menyelesaikan permasalahan berkaitan rumah PPRT, bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar serta memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negeri Sabah.

“Saya telah melawat banyak kampung di luar bandar dan selepas meneliti perincian program-program sedia ada yang ada Bajet di KPLB Sabah, saya melihat ada keperluan untuk kita mengadakan bajet sendiri di bawah kerajaan negeri untuk beberapa perkara termasuk PPRT, bekalan air dan elektrik.

Ewon menyampaikan cenderahati kepada Junsim (tiga dari kanan), turut kelihatan Musbah (kanan), Japlin (dua dari kanan), Fredian (dua dari kiri) dan Diyanah (kiri).

“Oleh itu saya telah mengemukakan input-input ini kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah supaya dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2020,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Seikhlas Budi Sekalung Penghargaan dan Sambutan Hari Raya Pejabat Daerah Kota Belud, di Promenade Hotel, di sini, pada malam Khamis.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian berkata, beliau mengemukakan perkara itu kepada UPEN Sabah kerana masih banyak kampung yang terpinggir di kawasan pedalaman dan jauh daripada akses grid elektrik dan Jabatan Air yang memerlukan pembelaan kerajaan negeri Sabah.

“Berkenaan dengan program rumah PPRT, saya akan berbincang lebih lanjut dengan Ketua Menteri untuk memperincikan perkara ini. Apapun, saya amat yakin beliau akan mempertimbangkan semua ini dan seterusnya mengumumkannya dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2020 hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu adalah antara pembaharuan kementeriannya selain program atau projek sedia ada seperti Program Keusahawanan Desa, Program Ameniti Sosial dan Program Peruntukan Khas Adun seterusnya melengkapkan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Ewon menyampaikan cenderahati kepada Abdul Gari.

Ewon berharap, dengan adanya bajet khas kerajaan negeri untuk pembinaan rumah PPRT, ia dapat menampung keperluan masyarakat luar bandar yang tersenarai dalam e-kasih.

“Ketika ini peruntukan untuk bina baru dan baikpulih rumah PPRT adalah daripada kerajaan persekutuan. Pada tahun ini KPLB Persekutuan hanya memperuntukkan sebanyak 445 unit rumah bina baru PPRT di Sabah dan 1740 unit baik pulih PPRT.

“Ini tidak mencukupi sebab masih banyak aduan yang ditularkan di media sosial atau surat khabar tentang keperluan bina baru rumah termasuk di Kampung Nahaba dalam kawasan DUN Kadamaian. Tetapi memandangkan agihan bagi Kota Belud hanya 16 buah sahaja pada tahun ini dan sudah ada penamanya, maka amat perlu ada peruntukan khas di bawah kerajaan negeri untuk tujuan itu.

“Kita berharap dapat menerima berita baik daripada Ketua Menteri menjelang pembentangan Bajet Negeri Sabah 2020 akan datang. Dalam mesyuarat Kabinet Negeri, saya telah membangkitkan perkara ini,” katanya.

Ewon bergambar bersama kakitangan Pejabat Daerah Kota Belud dan tetamu yang hadir pada majlis itu.

Ewon berkata, pada masa ini kerajaan negeri melalui KPLB Sabah memang membiayai pembinaan rumah PPRT tetapi hanya untuk peserta Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di perkampungan Mesej seperti Mesej Timpangoh, Mesej Tukar Pitas dan Mesej Mansalu Ranau.

Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa program PPRT itu perlu dikembangkan ke kampung-kampung yang bukan dalam program Mesej atau bukan dalam perkampungan Mesej.

“Itu sebab kita mengemukkakan cadangan perlunya bajet khas untuk program PPRT kepada UPEN Sabah dan saya dimaklumkan bahawa UPEN telah bersetuju dengan keperluan tersebut. Selaku Menteri KPLB Sabah saya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama Ketua Menteri mengenai perkara ini,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Haji Musbah Jamli, Adun Usukan Datuk Japlin Akim, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah, Mantan Pegawai Daerah Kota Belud Haji Abdul Gari Itam dan Mantan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Junsim Rumunzing.