Ewon Rasmi Galeri, Perpustakaan Dan Buletin KPLB Sabah

Ewon memotong kek sempena Majlis APC KPLB Sabah.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick merasmikan Galeri Usahawan Desa, Perpustakaan Mini dan Buletin Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu diadakan bersempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan Jasamu Dikenang, di Dewan KPLBS.

Ewon berkata, Galeri Usahawan Desa KPLBS itu diwujudkan untuk mempromosikan hasil-hasil produk usahawan di bawah bimbingan kementerian itu.

“Pengwujudan galeri, perpustakaan mini dan buletin KPLB Sabah adalah antara pembaharuan yang kita laksanakan di kementerian ini untuk manfaat semua warga KPLB, usahawan desa dan masyarakat umum secara keseluruhannya.

Ewon (duduk tengah) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Galeri Usahawan Desa KPLB, turut kelihatan Fredian (dua dari kiri).

“Galeri ini diwujudkan untuk membantu para usahawan luar bandar di bawah bimbingan KPLB Sabah mempromosikan produk-produk mereka,” katanya selepas merasmikan gelari itu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, lebih 70 jenis produk yang dihasilkan 30 usahawan KPLB Sabah dipameran di galeri itu. Antaranya pakaian tradisional, Manik-Manik, kraftangan dan cenderakenangan bermotifkan etnik Sabah.

Ewon melancarkan Edisi Pertama Buletin KPLB Sabah.

Manakala Perpustakaan Mini pula akan menempatkan pelbagai jenis buku untuk bahan bacaan warga KPLB Sabah pada masa lapang,” katanya.

Beliau berkata, penerbitan Buletin KPLB Sabah secara dalam talian adalah idea Setiausaha KPLB Sabah Fredian Gan.

Buletin itu mempunyai 66 muka surat memuatkan pelbagai berita termasuk pembangunan masyarakat, keusahawanan desa, korport dan pengurusan, ekonomi desa, kesejahteraan rakyat dan diari Menteri.

Buletin KPLB Sabah diterbitkan dua kali setahun. Ia boleh dilayari melalui ‪https://issuu.com/kplbsabah‬.

Ewon menyampaikan APC kepada Felisia, turut kelihatan Fredian.

Pada majlis yang sama Ewon menyampaikan sijil penghargaan kepada enam penerima APC 2019 iaitu Awang Usli Hj.Mohd Salleh, Felisia Gitah Sindan, Hasnah Taufeq, Karen Sherly Raymond, Betty Cornillius dan Dayang Murniza Ahmad.

Empat pegawai KPLB Sabah yang berpindah ke jabatan lain turut menerima sijil Jasamu Dikenang. Mereka ialah Charles William Dabbi (Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Majaran Osman (Pejabat Daerah Kunak), Rahmat Manik (Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah) dan Felisia (Pejabat Daerah Tuaran).