Ewon Prihatin Masalah Kampung Langsat

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Ketua Bahagian Upko Kimanis Lawrence Odong.

PAPAR: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk Kampung Langsat dan mempertimbangkan penaiktarafan jalan kampung itu yang memakan kos sebanyak RM70,000.

Beliau berkata, ia merupakan satu daripada beberapa permohonan penduduk kampung itu yang dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Luar (KPLB) Sabah.

“Selain masalah jalan kampung, permohonan atau keperluan lain yang turut dikemukakan oleh penduduk kampung kepada saya ialah pembinaan jalan baru ke kawasan sawah dan pembaikan parit.

“Oleh itu, selepas mengadakan lawatan di Mini Estate Sejahtera (Mesej) Kinolosodon Papar, saya meluangkan masa singgah sebentar di kampung ini untuk melihat sendiri beberapa keperluan pembangunan kecil di Kampung Langsat yang telah dikemukakan kepada saya, seterusnya menyantuni pimpinan UPKO Kimanis,” katanya ketika berucap pada majlis ringkas itu, di sini baru-baru ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, semua permohonan yang dikemukakan penduduk Kampung Langsat dan kampung-kampung luar bandar lain akan diteliti dan dipertimbangkan mengikut keperluan utama penduduk kampung berkenaan.

“Ia memerlukan peruntukan yang agak besar dan pada kali ini KPLB Sabah hanya dapat mempertimbangkan satu (permohonan) sahaja iaitu penaiktarafan satu jalan kampung di Kampung Langsat dengan peruntukan sebanyak RM70,000,” katanya.

Beliau berharap apabila projek itu siap kelak akan dapat memberikan keselesaan kepada penduduk kampung berkenaan.

Pada majlis itu Ewon yang juga Naib Presiden Upko turut menyampaikan sumbangan di bawah program touchpoints menteri sebanyak RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 untuk keperluan komuniti Chapel Katolik di kampung itu dan RM5,000 untuk UPKO Kimanis bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

Ewon bergambar bersama penduduk Kampung Langsat yang hadir.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu komuniti Kampung Langsat dan Kimanis dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan mereka,” katanya.

Beliau juga mahu agar Upko Bahagian Kimanis meliputi DUN Bongawan dan DUN Membakut terus menganjurkan aktiviti-aktiviti berkaitan kebajikan dan perpaduan masyarakat di kawasan mereka.