Ewon: Pendidikan Prasekolah Perlu Diutamakan

92
Murid tahun dua SK Nahaba Kota Belud menunjukkan tangan robot yang mereka hasilkan.

Oleh ROSANNA EDEZA
KOTA BELUD: Pendidikan prasekolah adalah langkah awal yang amat penting untuk memupuk nilai-nilai baik dalam diri seseorang individu dari peringkat kanak-kanak lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ewon Benedick berkata, sehubungan itu, penyediaan kelengkapan yang lengkap termasuk infrastruktur yang kondusif serta jumlah tenaga pengajar yang mencukupi perlu menjadi keutamaan untuk memperkasakan pendidikan prasekolah.

Katanya, guru prasekolah yang baik ialah mereka yang berjaya mengalih ilmu dan berfungsi untuk menanamkan nilai, serta membangunkan karakter kanak-kanak secara berterusan.

Sekumpulan Murid murid SK Nahaba sedang mencipta tangan robot.

“Penyediaan aktiviti yang menarik kecenderungan kanak-kanak untuk belajar seperti program yang disediakan hari ini sesuatu yang sangat menarik.

“Pengisian program seperti melukis, mewarna dan mencipta sesuatu berdasarkan alir fikiran membuka ruang kepada kanak-kanak untuk meluahkan mengenai apa yang mereka fikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya di Majlis Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Perkongsian dan Amalan Baik anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail Kelantan dan Sekolah Kebangsaan (SK)  Nahaba Kota Belud.

Penyelia Pembangunan ADUN Kadamaian, Dr. Rizoh Basurong (kiri) menerima cenderahati daripada Dr. Soon Singh sambil diperhatikan oleh Guru Besar SK Nahaba, Patrick Kandar (tengah).

Teks ucapan Ewon disampaikan Penyelia Pembangunan Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian Dr. Rizoh Bansurong.

Turut hadir, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UMS, Dr. Soon Singh.

Seramai 200 murid yang melibatkan 53 kanak-kanak prasekolah dan selebihnya murid tahap dua dari SK Nahaba Kota Belud menyertai program  itu.

Program  selama lima hari itu mendedahkan teknik pembelajaran terkini yang menyajikan pilihan kanak-kanak untuk melukis berdasarkan apa yang sedang mereka fikirkan.

Gambar kenangan bersama warga UMS, SMK Sultan Ismail Kelantan, SK Nahaba Kota Belud dengan Dr. Rizoh Badurong.

Ewon berkata, kaedah itu sangat berkesan untuk menterjemahkan aspirasi pemikiran kanak-kanak di peringkat prasekolah, khususnya dalam sudut mengembangkan pemikiran kreatif serta kemahiran berfikir kritikal.

Beliau mahu program seumpama itu diteruskan pada tahun-tahun akan datang selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang menekankan kemajuan dalam bidang teknologi.

Sempena program itu, pameran hasil kerja STEM turut diadakan yang antara lain ciptaan tenaga solar, elektrolit buah-buahan, jambatan hidrolik, model bot dan tangan robot.