Ewon Mengalukan Input Persatuan Etnik Dalam Sediakan Prasarana Lebih Baik

225
‘Ewon menyampaikan hamper kepada salah seorang usahawan’

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengalu-alukan input dari setiap persatuan berasaskan etnik di negeri ini dalam usaha membantu membangunkan prasarana di kawasan masing-masing.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, persatuan yang terdapat di negeri ini mempunyai perusahaan dan perniagaan yang memerlukan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

“Banyak persatuan berasaskan etnik di Sabah, mereka lebih faham keperluan di kampung yang didiami oleh anggota masyarakat itu sendiri.

“Oleh itu, input-input daripada persatuan etnik yang berada di setiap pelusuk negeri ini akan dapat membantu menyalurkan maklumat yang mereka perlukan kepada pihak kementerian.

‘Ewon bersama tetamu kehormat lain menggaul Yee Sang dalam majlis itu’

“Contohnya saya dimaklumkan bahawa ada juga masyarakat Tombonuo di Pulau Banggi dan yang besarnya di Daerah Pitas … tentunya mereka tahu kampung-kampung yang didiami oleh masyarakat Tombonuo yang mungkin masih berhadapan dengan keperluan jalan luar bandar, bekalan elektrik dan air luar bandar atau bangunan ameniti yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina dan Makan Malam Persatuan Usahawan dan Kontraktor Tombonuo, di sini pada malam Jumaat.

Ewon turut menyeru usahawan-usahawan di negeri ini termasuk Persatuan Usahawan dan Kontraktor Tombonuo supaya merebut peluang perniagaan yang ada termasuk menceburi bidang pelancongan luar bandar yang boleh diusahakan secara bersama dengan penduduk kampung berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan dari segi kemudahan infrastruktur namun perusahaan yang dijalankan perlu dilaksanakan oleh komuniti berkenaan.

Katanya, para usahawan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan sebaliknya berdikari bagi membolehkan mereka terus berdaya saing dengan masyarakat lain.

Mengenai sambutan perayaan itu, Ewon berkata ia menunjukkan satu keunikan kepada masyarakat Sabah yang berbilang bangsa dan agama.

“Sambutan Tahun Baru Cina oleh Persatuan Bangsa Tombonuo sesuatu yang sangat unik, istimewa dan menarik dan saya berharap perayaan seumpama ini diteruskan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Usahawan dan Kontraktor Tombonuo Ahzveens Akian berkata, persatuan itu ditubuhkan untuk menjaga kepentingan usahawan dan kontraktor bumiputera khususnya usahawan Tombonuo dalam pembangunan dan pemerkasaan perniagan dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, pembinaan dan pelancongan.

“Persatuan ini juga merupakan suara dan tulang belakang kepada 42 buah syarikat milik penuh usahawan Tombonuo di Sabah yang bernaung di bawah persatuan ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Bangsa Tombonuo Malaysia berkata, persatuan itu akan terus menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasakan usahawan bumiputera dengan mengadakan pelbagai program bukan sahaja untuk memastikan usahawan berdaya saing dan membantu mencari pasaran yang lebih luas untuk mengembangkan perniagaan mereka tetapi membantu masyarakat Sabah yang memerlukan bantuan.

Ahzveens turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan sebanyak RM20,000 untuk persatuan itu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah Dr Akian Ah Kiew berkata, persatuan itu diwujudkan sejak 20 tahun lalu berazam untuk meningkatkan ekonomi masyarakat itu.

“Dalam usaha meningkatkan ekonomi masyarakat Tombonuo, persatuan terlibat dalam beberapa aktiviti perniagaan antaranya dalam bidang pembinaan dan pelancongan,” katanya.