Ewon Komited Berkhidmat Untuk Rakyat Kadamaian

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berjanji untuk terus bekerja keras dan memberi khidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, walau berada dalam blok pembangkang, beliau akan terus komited dan bersuara secara berkesan untuk rakyat di kawasan DUN Kadamaian dan Sabah.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)  baru-baru ini, jumlah pengundi yang keluar mengundi di DUN Kadamaian ialah sebanyak 13,360 orang atau 75.59 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di DUN tersebut.

Daripada jumlah itu,  sebanyak 6,823 orang rakyat Kadamaian mengundi saya dengan majoriti sebanyak 3,459 orang.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kadamaian yang memberikan sokongan undi kepada saya dalam pilihan raya ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan parti-parti gabungan kita di Kadamaian (UPKO, Warisan & PKR) dan semua pihak yang bertungkus lumus dalam membantu dalam mempertahankan kerusi DUN ini,” ujarnya.

Ewon turut melahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan gabungan parti yang memilihnya bagi menerima cabaran ini walau banyak juga calon lain yang boleh dipilih.