Ewon Bidas Pembangkang Persoal Peruntukan Bantuan Kerajaan Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick membidas tindakan pembangkang yang mempersoalkan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah.

Beliau berkata, walaupun beliau menerima positif pandangan yang diberikan itu namun, beliau hairan kenapa pembangkang perlu mempersoalkan peruntukan sebegitu.

“Niat kita bantu rakyat bukan hanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi, juga selepas tempoh itu kerana kita perlu merangsang ekonomi negeri dengan kadar segera apabila tempoh PKP tamat.

“Jika dilihat pengumuman kerajaan persekutuan yang disampaikan oleh Perdana Menteri juga turut menyediakan peruntukan pembangunan infrastruktur bernilai RM2 bilion kepada Sabah dan Sarawak. Kita mengalu-alukan peruntukan berkenaan,” katanya kepada Borneo Today ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Di peringkat kerajaan negeri, peruntukan RM200 juta sebegitu turut diberikan kerana kerajaan bukan hanya bertanggungjawab terhadap nyawa dan keperluan rakyat dari segi bekalan makanan tetapi, kerajaan juga bertanggungjawab dalam menyedia kemudahan infrastruktur asas demi manfaat komuniti setempat.

“Kita perlu pastikan jalan, jambatan dan bekalan air perlu diselenggara dengan sebaiknya. Mana-mana penyelenggaraan yang boleh diselesaikan sepanjang PKP ini akan cuba diselesaikan.

“Atas sebab itu, Jabatan Air Negeri Sabah tidak boleh berhenti bekerja sepanjang tempoh PKP. Mereka ini kena terus memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan lancar.

“Kerajaan menyediakan peruntukan seluruh Sabah melalui pejabat daerah bagi menyelesaikan segera perkara berkaitan dengan kemudahan infrastruktur ini dapat diselesaikan,” ujarnya.