Esscom Tahan Pengedar Dadah Warga Indonesia

KALABAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang memiliki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram bernilai lebih RM4,200, di sini, pada Sabtu.

Komander Esscom Deputi Komisioner Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melakukan tugas rondaan jarak jauh (RJJ) Op Benteng telah membuat serbuan di sebuah rumah Batu 3(W) E3, di Ladang Bukit Tukok Sabah Softwood, Kalabakan.

Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan peronda ternampak seorang lelaki berdiri di hadapan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila anggota keselamatan cuba menghampiri, lelaki berkenaan cuba melarikan diri tapi berjaya ditahan.

“Pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek mendapati terdapat lima paket plastik lutsinar mengandungi ketulan Kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram.

“Suspek adalah warga indonesia yang berumur 20 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ditahan untuk si a Satan, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya turut merampas beg silang, wang tunai RM 270 dan seunit alat penimbang digital dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM47, 400.

Suspek bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, Esscom dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan dengan melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan bagi mengekang dan membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negara ini.

Sehubungan, Ahmad Fuad menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya komuniti maritime di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) agar sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kerajaan. Ia termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang bertentangan ataupun melanggar undang-undang negara kepada Pusat Operasi (PUSOP) Esscom ditalian 089-863181 ataupun menghubungi balai-balai polis yang berhampiran.