ESSCOM Tahan 4 PTI, Rampas Syabu & Selaras Senapang Bakakuk

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 menahan empat pendatang asing dan merampas satu paket plastik lutsinar disyaki syabu beserta senapang bakakuk dan peluru hidup, di sini pada Ahad.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek yang berumur 22 hingga 41 tahun ditahan oleh sepasukan anggota strike force di kawasan Simpang 4, Batu 10, Kalabakan kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota PGA yang sedang membuat tugas risikan telah memeriksa tiga motosikal yang dinaiki lima lelaki yang datang secara berasingan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan badan, menemukan satu paket plastik lutsinar didalamnya hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan sebutir peluru hidup yang disembunyikan di dalam beg sandang salah seorang daripada suspek”, katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati empat suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemua lima lelaki itu didapati positif dadah.

Hazani berkata, siasatan lanjut terhadap salah seorang suspek yang didapati memiliki sebutir peluru hidup, membawa kepada penemuan selaras senapang (bakakuk) bersama dua butir peluru hidup yang dijumpai di dalam semak ladang kelapa sawit tidak jauh daripada kawasan berkenaan.

“Kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Tawau untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952”.

“Turut dirampas ketiga-tiga motosikal yang digunakan oleh suspek dalam aktiviti berkenaan”, katanya.