Esscom Perlukan Pesawat Untuk Rondaan Di Esszone

Oleh TERTIA JACOB
TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memerlukan  pesawatnya sendiri bagi mempertingkatkan rondaan dan kawalan udara di Zon Selamat Timur Sabah ( Esszone).

Ketua Staf Operasi Udara Esscom, Brig Jen Ayub Khan Mohd Khan berkata, aset itu penting untuk memastikan pemantauan dan tinjauan udara dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan terutama dalam aspek mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan (KFR) di kawasan ‘hotspot’ dan laluan yang menjadi ‘staging points’ penjenayah rentas sempadan.

Selain menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan, katanya, ia membolehkan Esscom mengatur gerak aset udara dengan berkesan terutama untuk mengesan dan melumpuhkan aktiviti penjenayah serta anasir luar yang cuba mengganggu gugat keselamatan di pantai timur negeri ini.

“Kita yakin melalui rondaan agresif unit udara Esscom dengan kerjasama semua agensi penguatkuasaan lain, modus operandi penjenayah rentas sempadan dapat dipatahkan dengan berkesan.

“Esscom sudah beroperasi lebih tujuh tahun, sepatutnya sudah memiliki sekurang-kurangnya sebuah aset udara sendiri bagi memudahkan tugas pemantauan dan kawalan di perairan Esszone yang begitu luas, sekali gus membanteras sebarang bentuk ancaman dan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat koordinasi dan perbincangan bersama dengan semua agensi penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan di kawasan Esszone, di sini, hari ini.

Ayub khan berkata, Kementerian Dalam Negeri telah melaksanakan penilaian ‘proof concept’ pesawat ‘multi sensor Reconnaissance dan Identification (MRI)’ pada 2017, disusuli Lab Pengurusan Nilai (VM LAB) pada tahun 2018 untuk menilai keperluan Esscom, tetapi masih lagi di peringkat ‘status quo’ sehingga kini.

Katanya, aset udara Esscom juga adalah sebagai pelengkap dan pasukan sokongan kepada aset darat dan laut sedia ada, selaras usaha memperkukuh kawalan dan rondaan melibatkan kerjasama antara laut, darat dan udara, selain kerjasama trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Aset udara ini boleh terus diatur gerak melalui perancangan dan maklumat perisikan Esscom ke kawasan ‘hotspot’ dan kawasan dikenal pasti dengan cepat dan berkesan.

Ketika ini, Ayub Khan berkata, Esscom hanya bergantung kepada aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang mempunyai misi dan jadual penerbangan yang telah ditetapkan masing-masing dalam kawasan tanggungjawab mereka.

Jelasnya lagi, Esscom sukar bertindak cepat jika ada operasi khas termasuk kes kecemasan yang memerlukan tindakan pantas kerana ESSCOM tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan aset berkenaan.

“Esscom kini dalam proses pemerkasaan fungsi serta peranan dan berharap agar bahagian operasi udara turut dinaiktaraf termasuk melengkapkan bahagian udara dengan menempatkan sebuah aset udara sendiri untuk memudahkan tugas dan pemantauan.

“Bahagian Operasi Udara Esscom berkeupayaan untuk melaksanakan perancangan dan mengatur gerak aset udara sendiri dengan baik dan tersusun,” katanya.

Mengenai mesyuarat koordinasi itu, Ayub Khan berkata, ia bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi udara, sekali gus menyelaras pengoperasian udara yang dilaksanakan oleh setiap perkhidmatan.