ESSCom Kenal Pasti Tali Barut Kumpulan Penculikan Untuk Wang Tebusan

AHMAD FUAD

SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah mengenal pasti tali barut yang membantu kumpulan penculikan untuk wang tebusan di perairan pantai timur Sabah.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata pihaknya memberi amaran keras kepada mereka agar menghentikan perbuatan itu atau berdepan tindakan tegas dan gerak-geri mereka juga sedang diperhatikan pihak berkuasa.

 “Tali barut ini bukan sahaja orang Palau’, ada orang tempatan dan pendatang tanpa izin, hentikan (menjadi tali barut), kita tahu mahu cari mereka di mana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sejak tahun 2000, daripada 27 kes penculikan untuk wang tebusan yang berlaku di pantai timur Sabah, sebanyak 80 peratus individu mahupun kumpulan terlibat berjaya dikesan dan ‘disingkirkan’ termasuk ditembak mati.

Ahmad Fuad berkata hubungan baik dengan rakan setugas di Filipina membolehkan agensi itu menyelesaikan kes-kes penculikan walaupun penculik terlibat berada di negara jiran tersebut.

“Sama ada di sini (Sabah) atau sana (Filipina) kita akan berjaya ambil tindakan, tunggu masa cepat atau lambat dan sebab itu saya beri amaran jangan cuba menculik dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi memperkasa kawalan keselamatan di perairan mahupun daratan ESSZone, kerajaan diharap dapat menimbangkan penambahan radar teknologi tinggi, aset bot, pos kawalan keselamatan air serta penambahan batalion Pasukan Gerakan Am.

Berkaitan Operasi Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan, beliau berkata pasukan keselamatan di ESSZone telah melakukan pemeriksaan kepada 493,273 individu, manakala 118 individu telah didakwa di mahkamah membabitkan 49 kes termasuk penyeludupan dengan jumlah rampasan RM5.7 juta.

Ahmad Fuad berkata baru-baru ini juga, pihaknya telah menerima senjata api dengan nilai RM7 juta daripada kerajaan bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan ESSZone.