ESSCOM Jamin Keselamatan Pengundi Ketika PRN

AHMAD FUAD

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memberi jaminan keselamatan kepada pengundi dan orang ramai menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bagi memastikan kelancaran kawalan keselamatan itu, sebanyak sepuluh pasukan khas digerakkan di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Semua kawasan udara, darat dan perairan kita jaga dan ia dipertingkatkan dengan lebih aktif ketika ini dan pada masa akan datang,” katanya kepada media, pusat pengundian awal Dewan Serbaguna Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, di sini, hari ini.

Tambahnya pengundi pantai Timur Sabah tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada 26 September ini kerana seluruh kawasan ESSZONE dalam kawalan ketat keselamatan.

HAZANI GHAZALI

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali turut memberi jaminan yang sama walaupun sebelum ini mendedahkan ada menerima maklumat kemasukan besar-besaran rakyat negara asing untuk membuat kekacauan pada PRN Sabah.

“Saya beri jaminan keluarlah mengundi beramai-ramai, biar saya dan seluruh pasukan keselamatan di ESSZONE mengawal tugas keselamatan,” kata Ahmad Fuad yang turut mengesahkan ada menerima maklumat mengenai percubaan pihak asing menyusup masuk ke Sabah.

Dalam pada itu, Hazani berkata, seramai 187 pegawai dan anggota ESSCOM menunaikam tanggungjawab mengundi awal hari ini.