ESSCom Hargai Sumbangan NGO Bantu Masyarakat Terkesan PKPB Di ESSZone

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menghargai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan sumbangan kepada penduduk yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata pihaknya turut bekerjasama dengan NGO bagi menjayakan misi penyampaian sumbangan kepada penduduk yang terkesan itu.

“Antaranya ialah Ikhlas.Com dan Pertubuhan MyAmal Sabah dan sebanyak 300 bakul makanan telah diedarkan ke sembilan perkampungan atas air dan pulau di Sandakan.

“Saya berharap agar bakul makanan ini dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan PKPB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaluddin berharap lebih banyak lagi NGO membantu kerajaan dalam memberikan sumbangan serupa bagi meringankan beban penduduk yang terkesan di kawasan pantai timur Sabah yang majoritinya adalah nelayan dan bergantung hidup kepada hasil laut.