ESSCOM Gagalkan Cubaan Seludup Rokok, Nilai Rampasan Lebih RM1 Juta

110
Anggota ESSCOM menunjukkan hasil rampasan rokok dalam operasi berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggagalkan cubaan menyeludup 84,500 bungkus rokok dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk taksiran cukai kastam bernilai lebih RM1juta.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata, rampasan itu dilakukan dalam satu operasi khas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh pada petang Ahad.

Beliau berkata, dalam operasi itu ESSCOM menahan lima suspek warga tempatan yang masing-masing menaiki kenderaan SUV yang berada dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

HAZANI GHAZALI

“Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota ESSCOM telah menahan dan memeriksa lima buah kenderaan SUV yang datang dari arah Kota Kinabalu dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua pemandu berumur dalam lingkungan 18 hingga 46 tahun telah diarahkan turun untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan SUV berkenaan dipenuhi oleh kotak-kotak rokok disyaki rokok seludup yang belum dibayar cukai kastam yang dianggarkan bernilai RM 455,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Hazani berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek mengaku membawa rokok itu dibawa dari Kota Kinabalu menuju ke Sandakan.

Antara jenis rokok seludup yang dirampas ialah 45,800 bungkus astro merah, 22,880 bungkus astro hijau, 1,850 bungkus astro hitam, 1,200 bungkus rokok Extreme, 4,500 bungkus Era Biru, 3,600 bungkus rokok Absulete (kretek), 2,670 bungkus rokok Apache dan 2,000 bungkus Era Hitam.

Kotak-kotak rokok yang dimuatkan dalam kenderaan SUV yang berada dalam perjalanan ke Sandakan.

Katanya, beliau percaya rokok-rokok ini cuba diseludup dari negara jiran Indonesia untuk dipasarkan di kawasan Pantai Timur Sabah khususnya di daerah Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan kelima-lima suspek.

Beliau berkata kesemua suspek dan barang rampasan telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Beluran untuk tindakan lanjut. Kes itu akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Turut disita lima buah kenderaan SUV iaitu empat buah jenis proton Exora dan sebuah Toyota Innova yng dianggarkan bernilai RM250,000.

Menurutnya, anggaran nilai taksiran cukai kastam yang belum dibayar bagi rokok seludup berkenaan bernilai lebih RM650,000.

“ESSCOM akan sentiasa memperketatkan kawalan terutamanya di kawasan-kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan mengadakan operasi-operasi khas secara berkala. Ini bagi membendung dan mengekang aktiviti penyeludupan barang-barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia,” ujarnya.