ESSCOM Dan ATB 2 Gagalkan Cubaan 7 PATI Masuk Ke Sabah

TAWAU: Pasukan OP Cegah Pati (OCP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mematahkan cubaan 7 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia menyusup masuk ke negara ini melalui Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, di sini, semalam.

Bertindak atas maklumat risikan, pasukan OCP melaksanakan operasi di kampung berkenaan pada jam 8.35 malam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata semasa melaksanakan pemantauan, pasukan OCP berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara sedang bergerak keluar daripada Kampung Kurnia Jaya dipercayai membawa PATI yang baru tiba dari Pulau Sebatik, Indonesia.

Pasukan OCP mengekori dan menahan kenderaan terbabit di bangunan kedai di Jalan Habib Sheikh Sabindo.

Pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati ia membawa 7 PATI Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Pemandu kenderaan, seorang
warga tempatan berusia 58 tahun serta kesemua PATI terdiri seorang lelaki berusia 36 tahun, tiga wanita berusia antara 27 hingga 38 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 4 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, ditahan.

Pemeriksaan lanjut mendapati 7 PATI itu menaiki bot yang diatur ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau untuk dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Pemandu dan PATI yang ditahan berserta kenderaan dinaiki, di bawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut.