ESSCOM Buru Penyeludup Barang Subsidi

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memberi amaran keras kepada tekong penyeludupan barang bersubsidi menghentikan aktiviti mereka serta merta.

Komandernya Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ESSCOM tidak akan berdiam diri dari terus memburu penyeludup berkenaan terutamanya membabitkan minyak petrol yang cuba dibawa keluar ke negara jiran menerusi jalan tikus.

AHMAD FUAD

“Kepada tekong penyeludup minyak, hentikan aktiviti penyeludupan, jika enggan dikenakan tindakan keras,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu, pihaknya berjaya menahan sebuah bot laju yang disyaki digunakan untuk menyeludup 23 jerikin minyak ke negara jiran di sekitar perairan Sisipan, dekat sini, semalam.

“Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam, ESSCOM dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Marin Semporna berjaya mengesan  dan menahan sebuah bot laju yang disyaki cuba menyeludup minyak petrol di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek melarikan diri dan meninggalkan bot serta jerikin berisi minyak petrol,” katanya.

Hasil siasatan yang dilakukan, semua minyak tersebut cuba diseludup keluar ke negara jiran menerusi laluan yang tidak diwartakan untuk aktiviti import-eksport.

Tambah Ahmad Fuad, sehubungan itu pihaknya merampas semua tong jerikin, bot dan enjin yang dianggarkan bernilai RM16,845.

“Semua rampasan itu kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Saya bimbang sekiranya minyak seludup ini akan digunakan penjenayah rentas sempadan termasuk berkaitan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dari Selatan Filipina untuk melakukan jenayah di perairan Timur Sabah,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Fuad menjelaskan ESSCOM menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Timur akan memperketatkan lagi kawalan dan rondaan meliputi kawasan laut serta udara.

“Tumpuan akan diberikan di kawasan laluan panas dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengekang sekali gus membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua masyarakat menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM di talian 089-863181 atau balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat aktiviti jenayah rentas sempadan di kawasan masing-masing.