Enjin Bot Terbakar Di Labuan, Seorang Selamat Seorang Masih Hilang

1360
Bot nelayan yang terbakar; satu selamat dan satu lagi masih hilang. – Gambar ihsan Maritim Malaysia

Oleh BORNEOTODAY
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia daerah Maritim Labuan dalam usaha mencari dan menyelamat seorang pemancing yang dikhuatiri hilang setelah bot yang dinaiki terbakar.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa menyatakan Bilik Operasi Maritim Labuan menerima laporan pada jam 8.00 pagi, berkenaan sebuah bot yang dinaiki oleh dua orang mangsa terbakar di perairan Pulau Rusukan Besar, Labuan.

Salah seorang mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan yang lain tetapi seorang lagi masih lagi dikhuatiri hilang.

Menurut beliau lagi, Maritim Labuan telah mengarahkan sebuah kapal peronda untuk melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat sejurus mendapat laporan tersebut.

KAPTEN CHE ADNAN

“Berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh waris mangsa, mangsa bersama seorang rakannya telah keluar memancing pada 10.00 pagi Ahad lepas masih belum pulang sehingga waris mangsa menjumpai bot yang mangsa gunakan tersadai di Pulau Kuraman dalam keadaan terbakar pada jam 6 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Menurut mangsa yang selamat, Jimran bin Lilang, 18 tahun, beliau bersama rakannya Sally Juparin, 25, telah terjun ke laut setelah enjin bot mereka terbakar dan cuba berenang ke Pulau Rusukan Besar, namun dihanyutkan oleh arus deras sebelum diselamatkan oleh bot nelayan.

Walau bagaimanapun, Sally Juparin masih belum ditemui dan dikhuatiri hilang.

Agensi yang turut terlibat dalam Operasi Cari Lamat ini ialah Pasukan Polis Marin Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Angkatan Pertahanan Awam Labuan dan bot bot sahabat mangsa yang hilang.

Operasi ini turut melibatkan Pasukan Polis Marin Negara Brunei untuk membuat pencarian di sekitar sempadan negara mereka.

Pasukan Cari dan Menyelamat.

“APMM Daerah Maritim Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot-bot nelayan,” tambah Kepten Che Adnan

Justeru, pihak APMM Labuan mengharapkan kerjasama dari orang ramai supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Komuniti maritim khususnya disarankan agar merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Daerah Maritim Labuan di talian 087-427999.