Enjin Bot Rosak Di Perairan Semarang, Dua Beradik Selamat

LABUAN: Dua beradik berhadapan detik cemas apabila enjin bot yang dinaiki alami kerosakan di perairan Semarang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Nuhidayat Jafari, 18, dan abangnya Muhammad Nabil, 22, dikatakan keluar memancing sebelum bot dinaiki tiba-tiba mengalami kerosakan di lautan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai sebuah bot pancing yang dinaiki dua mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing pada Sabtu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kemudian mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi terakhir mangsa di lihat.

Turut membantu dalam operasi itu ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),
Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

Laporan awal mendapati enjin bot mangsa telah mengalami kerosakan dan terpaksa bersauh untuk membaiki enjin tersebut namun tidak berjaya. Kemudian, mereka meminta bantuan kepada bot nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Mangsa menghubungi ibunya kira-kira jam 8.40 pagi memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat dan sedang dibantu oleh sebuah bot nelayan tempatan.

Bot peronda Zon Maritim Labuan (Bot KILAT 23) yang didalam operasi pencarian telah diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan untuk rawatan lanjut.

Nudin menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memberitahu waris terdekat dimana lokasi yang dituju dan sentiasa memeriksa keadaan bot sebelum berlayar untuk aktiviti di lautan.

Untuk sebarang kecemasan di laut boleh terus menghubungi hotline Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di talian 03-89434001 ataupun melalui talian kecemasan MERS 999.