Enam Tabligh Malaysia Dikuarantin di Nunukan, Indonesia

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pihak berkuasa Indonesia mengarahkan enam jemaah tabligh Malaysia yang terkandas di Pelabuhan Nunukan, Indonesia, kelmarin, menjalani kuarantin selama enam hari bermula semalam.

Menurut sumber, kumpulan itu kini ditempatkan di pusat tahanan sementara di sana, selepas kerajaan negeri Sabah melarang sebarang kemasukan dari luar negara sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

“Sampel (air liur) mereka (jemaah tabligh Malaysia) sudah diambil dan dihantar ke Jakarta untuk dilakukan ujian Covid-19.

“Dalam masa sama, kami juga menunggu keputusan daripada negara asal (Sabah) untuk kebenaran pulang ke sana,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini, hari ini.

Terdahulu, portal berita KhabarUtara.com melaporkan Ketua Pejabat Kesihatan Pelabuhan Nunukan, Dr Bahrullah mengesahkan penempatan enam jemaah tabligh tersebut di wilayah berkenaan.

Semua jemaah tabligh itu dalam misi dakwah tiba di Makassar Sulawesi, Indonesia pada 11 Mac lalu, sebelum tiba di Pelabuhan Liem Hie Djung, Nunukan, dalam perjalanan pulang ke Tawau.

Bagaimanapun, kumpulan iru terkandas selepas kerajaan negeri menutup semua laluan antarabangsa bagi mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, Borneo Today difahamkan seramai 21 orang ditempatkan di pusat kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau sehingga jam 2 petang tadi.

Jumlah itu terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita yang dikategorikan sebagai individu dalam siasatan (PUI).

Terdahulu, 12 jemaah tabligh tempatan yang tiba dari Sungai Pancang, Indonesia, ke Tawau pada 21 Mac lalu, turut ditempatkan di lokasi sama bagi menjalani tempoh kuarantin.